89 kematian 24 jam, 36 BID

PUTRAJAYA 26 Sept. – Sejumlah 228 kes kematian disebabkan oleh Covid-19 dilaporkan semalam dengan 139 kes kematian tertunggak, demikian menurut  laporan COVIDNOW.

Hanya 89 kes dicatatkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian disebabkan oleh Covid-19 di negara ini meningkat kepada 25,159 kes.

Daripada jumlah kes kematian berkenaan, 36 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan kes keseluruhan pesakit yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan ialah sejumlah 4,923 kes.

Secara keseluruhannya termasuk penambahan kes tertunggak, Lembah Klang kekal mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 78 kes yang merangkumi Selangor (75) dan Kuala Lumpur (tiga).

Selain itu ialah Johor dengan 56 kematian, disusuli Sabah (19), Kelantan (18), Kedah (15), Perak (14), Sarawak (sembilan), Pulau Pinang (lapan), masing-masing empat kes kematian dicatatkan di Melaka dan Terengganu dan Pahang (tiga).

Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Perlis tidak melaporkan sebarang kes kematian.

Selain itu, mengenai kes yang masih aktif di negara ini, data di laman web berkenaan menunjukkan masih terdapat 191,434 kes dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Daripada jumlah yang dipaparkan itu, terdapat 161,889 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, manakala di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 sebanyak 18,589 dan hospital 9,886.

Related posts

Leave a Comment