MSAM 2023 tarik 200,000 pengunjung

KEPALA BATAS 8 Okt. –  Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines, di Bertam di sini berjaya merekodkan kehadiran lebih daripada 200,000 orang pengunjung sepanjang sembilan hari program itu berlangsung.

Karnival celik kewangan tahunan itu turut menarik perhatian pengunjung muda terutama dalam kalangan murid sekolah untuk mengikuti pelbagai aktiviti di situ.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Arshad Raja Tun Uda berkata MSAM 2023 mendapat penglibatan menggalakkan oleh pengunjung di semua platform digital yang diadakan dalam bentuk hibrid, secara fizikal dan maya.

Katanya, acara edutainment bertemakan “Bijak Melabur, Santai Berhibur”, tersebut bertujuan meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur melalui pelbagai aktiviti.

“Kami di PNB bersyukur kerana MSAM kali ini menarik minat pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Ini merupakan perkembangan positif dan membantu usaha PNB untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik pelaburan.

“Selain itu, PNB juga amat menghargai sokongan para pelabur terhadap unit-unit amanah yang diuruskan oleh PNB.

Kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap PNB yang mengurus dana-dana unit amanah ini amat kami hargai,” katanya ketika berucap pada majlis penutup MSAM 2023, di Setia Fontaines di sini, hari ini.

Majlis penutup itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang,  Dr Mohamad Abdul Hamid.

Turut hadir Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn serta kepimpinan rakan korporat MSAM 2023.

Sementara itu, Raja Arshad berkata MSAM 2023 menerima pengunjung bukan sahaja dari Bertam dan kawasan sekitarnya malah dari seluruh negara termasuk Kedah dan Selangor.

Karnival juga katanya turut menerapkan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik ke dalam gerai pameran, aktiviti dan kandungan, sebagai sebahagian daripada misi PNB untuk memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menuntut ilmu dan pendidikan tinggi.

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada Rakan Korporat MSAM 2023 yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSAM terus menjadi antara karnival yang dinanti-nantikan di negara ini,” katanya.

Acara literasi kewangan tahunan yang dianjurkan oleh PNB itu juga seiring dengan mandat PNB dalam mempertingkatkan kehidupan rakyat demi kemakmuran negara.

MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.

Selain itu, pengunjung yang mendaftar dengan PNB Events App berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta antaranya ialah rumah teres setingkat di Setia Fontaines, Pulau Pinang, BYD Atto 3 Standard Range, Toyota Vios 1.5G AT, Perodua Axia 1.0L AV, Yamaha MT25 dan Apple iPhone 14 Pro Max.

Related posts

Leave a Comment