Keluarga suspek insiden Siam Paragon mohon maaf

BANGKOK: Kerajaan Thailand mengeluarkan permohonan maaf daripada keluarga suspek tembakan maut di sebuah pusat beli-belah, membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun baru-baru ini.

“Kami memohon maaf kepada mangsa, keluarga si mati dan yang cedera membabitkan insiden tembakan yang berlaku akibat tindakan anak kami di gedung membeli-belah Siam Paragon.

“Kami amat sedih dan terkejut dengan kejadian ini dan menerima tanggungjawab terhadap insiden terbabit sepenuhnya,” kata kenyataan yang diedarkan dalam bahasa Thailand, Inggeris dan Cina oleh Kementerian Luar Thailand.

Kenyataan itu ditandatangani bapa kepada pesalah juvana itu yang turut memberi jaminan untuk bekerjasama penuh terhadap siasatan polis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Srettha Thavisin, memberi jaminan akan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan serangan senjata berprofil tinggi ketiga yang melanda negara itu dalam tempoh empat tahun ini, tidak berulang.

Remaja itu yang sudah ditahan polis, melakukan serangan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon, Selasa lalu, yang mengorbankan dua mangsa dan lima lagi cedera.

Suspek adalah pelajar di sebuah sekolah swasta yang terletak hanya beberapa meter dari Siam Paragon, sudah menjalani ujian psikiatri sebelum boleh dibawa ke muka pengadilan.

Pasukan penyiasat melaporkan, suspek yang pernah menjalani rawatan untuk penyakit mental tetapi berhenti mengambil ubat-ubatan, mendakwa mendengar bisikan suara menyuruhnya menembak orang ramai.

Serangan itu dilakukan menggunakan pistol kosong yang diubah suai bagi membolehkan ia menembak dengan peluru hidup.

Susulan insiden itu, polis turut menahan tiga individu disyaki menjual pistol dan peluru kepada suspek.

Related posts

Leave a Comment