WHO syor vaksin malaria kedua

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan vaksin malaria kedua R21/Matrix-M bagi membendung penularan penyakit yang mengancam nyawa itu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam sidang media semalam berkata dua tahun lalu, WHO mengesyorkan penggunaan meluas vaksin malaria pertama di dunia yang dipanggil RTS,S.

“Hari ini, saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa WHO mengesyorkan vaksin kedua yang dipanggil R21/Matrix-M untuk mencegah malaria pada kanak-kanak yang berisiko dijangkiti penyakit itu,” katanya.

Beliau berkata, R21/Matrix-M, yang dibangunkan oleh Universiti Oxford Britain, akan tersedia menjelang pertengahan 2024 dan dos ini akan dijual pada harga antara AS$2 (RM9.45) dan AS$4 (RM18.90).

“WHO kini sedang menyemak semula vaksin bagi pra kelayakan, iaitu cap kelulusan daripada WHO.

Ini akan yang membolehkan GAVI (pakatan vaksin global) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) membeli vaksin daripada pengeluar,” katanya.

Vaksin R21/Matrix-M dihasilkan secara besar-besaran oleh Institut Serum India (SII) dan menggunakan adjuvant Matrix M Novavax.

Ketua Pegawai Eksekutif SII, Adar Poonawalla, berkata pihaknya menghasilkan lebih daripada 20 juta dos berdasarkan cadangan WHO.

“Kami akan meningkatkan pengeluaran mengikut keperluan permintaan.

Vaksin itu akan bersaing dengan RTS,S oleh GSK Plc, yang disyorkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2021 dan dijual di bawah jenama Mosquirix.

WHO berkata kedua-dua vaksin menunjukkan keberkesanan yang sama dalam ujian berasingan.

Lebih 1.7 juta kanak-kanak di Ghana, Kenya dan Malawi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan dan akan dilancarkan di sembilan lagi negara endemik malaria mulai awal tahun depan.

Malaria membunuh lebih 600,000 setiap tahun di seluruh dunia, kebanyakannya kanak-kanak di Afrika.

Tedros menambah agensi itu juga mengesyorkan vaksin Takeda Pharmaceuticals terhadap denggi yang dipanggil Qdenga untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 16 tahun di kawasan di mana jangkitan itu adalah masalah kesihatan awam yang ketara.

Denggi, biasa di iklim tropika dan subtropika, adalah jangkitan virus yang disebarkan daripada nyamuk kepada manusia.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi WHO, Hanna Nohynek, berkata vaksin Takeda berkesan terhadap keempat-empat jenis virus pada pesakit yang pernah dijangkiti denggi.

“Bagaimanapun, keberkesanannya terhadap virus jenis tiga dan empat pada pesakit yang dijangkiti buat pertama kali belum dapat dipastikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment