Tuntutan semula WTD cecah RM3.4 bilion

KUALA LUMPUR 17 Jun –  Jumlah tuntutan semula Wang Tidak Dituntut (WTD) mencecah RM3.4 billion sehingga 31 Mei lalu dengan bilangan permohonan meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2022.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), pertambahan jumlah permohonan itu menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat ke atas wang tak dituntut.

Baki WTD sehingga 31 Mac lalu berjumlah RM11 billion dan sehingga 31 Mei berjumlah RM11.5 billion manakala serahan WTD yang diterima pada 2023 sehingga 31 Mei adalah RM1.3 bilion, meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama 2022.

MoF memberi penjelasan berkenaan dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terenganu) pada 13 Jun yang ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan untuk memastikan orang awam menuntut WTD.

Beliau juga mahu tahu bagaimana kerajaan menggunakan faedah yang diperoleh sebanyak RM250 juta hasil pelaburan WTD dalam simpanan tetap.

Menurut MoF, peningkatan tuntutan semula disebabkan oleh pelaksanaan operasi penguatkuasaan pematuhan Akta Wang Tak Dituntut 1965 ke atas syarikat dan firma di seluruh negara.

Sementara itu, berdasarkan akta berkenaan, WTD yang telah mencapai tempoh 15 tahun akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan.

Semua yang dipindahkan ke akaun berkenaan dibelanjakan bagi tujuan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan negara berdasarkan bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaras Akta Tatacara Kewangan 1957.

Sebahagian besar baki yang diakaunkan di Akaun Amanah Disatukan telah dilabur dalam simpanan tetap selaras Akta Tatacara Kewangan 1957. Hasil daripada pelaburan itu diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan bagi tujuan yang sama.

Kementerian itu memaklumkan, faedah yang diterima diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan bagi tujuan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan negara selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957.

Bagaimanapun, menurut MoF, bagi WTD yang telah dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan atau Akaun Amanah Disatukan, permohonan tuntutan WTD masih boleh dibuat tanpa tempoh akhir dan pemohon yang berhak boleh membuat permohonan tuntutan pada bila-bila masa.

MoF menjelaskan, hebahan mengenai WTD dibuat melalui media massa, laman web rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia serta program-program bertemu pelanggan yang diadakan sepanjang tahun bermula 2017 sehingga kini.

Related posts

Leave a Comment