Kos baiki sekolah terbakar cecah RM1.9 juta

PERMATANG PAUH 1 Okt. –  Kos keseluruhan untuk memperbaiki struktur Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu di sini yang terbakar pada 22 September lalu  dijangka mencecah RM1.9 juta, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerja membaik pulih tingkat atas bangunan empat tingkat sekolah itu perlu disegerakan.

“Jumlah awal dana belum dihitungkan, tetapi sekitar RM1.9 juta. Sebaiknya kerja baik pulih siap dilakukan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini supaya boleh beroperasi semula secepat mungkin.

“Jadi kita arahkan disegerakan menerusi proses tender terhad supaya kerja baik pulih dapat dipercepatkan,” katanya selepas melawat SKPermatang To’ Kandu, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, juga mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR).

Anwar berkata, JKR sudah menyiapkan laporan awal struktur terjejas bertujuan menyegerakan kelulusan dana kecil bagi kerja pembersihan di lokasi terjejas.

“Dana kecil berkenaan dikeluarkan untuk pembersihan dan juga pembinaan tembok atau penghadang untuk keselamatan anak-anak kalau ada serpihan dan sebagainya,” katanya.

Anwar berkata beliau turut mengambil maklum kesulitan murid membabitkan dua sesi persekolahan dalam keadaan sekolah yang sesak.

“Saya sudah bagi tahu guru besar tadi kalau laporan JKR siap minggu depan, minggu depan kita jangka kerja baik pulih beroperasi kita nak buat ‘fast track’ makna tidak terus tender biasa. Ia tender terhad yang akan dipercepatkan supaya tidak ganggu pelajaran,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran membabitkan lima kelas yang mana tiga daripadanya musnah 100 peratus dijilat api, manakala dua kelas lagi terbakar 40 peratus.

Related posts

Leave a Comment