REE: Tuduh atau tidak tiga minggu lagi

KAJANG 30 Sept. –  Pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan membuat keputusan dalam beberapa minggu ini berhubung kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpang Bukit Enggang, Sik, Kedah yang turut mengaitkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata pihaknya sudah melengkapkan siasatan.

“Siasatan berkenaan kes REE sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk kajian seterusnya.

“Keputusan menuduh atau tidak, pihak mereka akan buat keputusan dalam tempoh terdekat, kemungkinan dua ke tiga minggu, “ katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di sini hari ini.

Turut sama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang diketuai Pengarah Negeri Selangor Ghazali Abd Rahman.

Pada 18 Julai lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung kecurian REE yang dijalankan secara haram sehingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

Beberapa kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 17 (A) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan mereka juga akan meneliti Seksyen 7 Akta Pencegahan Rasuah 1988.

Pada 25 September lalu, Muhammad Sanusi mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkaitan REE.

Katanya, proses memberi keterangan kepada pegawai SPRM itu dibuat di pejabatnya minggu lalu, dengan beliau memberi kerjasama penuh bagi membolehkan siasatan kes berkenaan berjalan lancar.

“Tak ada serahan dokumen apa, tak ada apa, bagi keterangan biasa. Saya ingat hanya empat soalan saja (ditanya pegawai SPRM. Saya bukan orang jahat nak tanya banyak, saya dikenali sebagai orang baik, tanya sikit pun padan,” katanya.

Sementara itu, mengenai siasatan kes rasuah pengambilan pekerja asing yang melibatkan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Azam berkata, pihaknya masih menunggu keputusan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kes itu telah dikemukakan kepada TPR dan kita masih lagi menunggu keputusan dari mereka. Kita telah siapkan siasatan dalam tempoh dua bulan lepas dan kita masih tunggu dari TPR,” ujarnya.

Pada Mei lalu, media melaporkan Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak sebagai langkah
bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.

 

Related posts

Leave a Comment