Gubal strategi berkesan banteras rasuah

KAJANG 30 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggubal strategi dengan lebih berkesan dalam usaha membanteras isu rasuah dalam negara, kata Ketua Pesuruhjaya,  Azam Baki.

Katanya, visi dan misi SPRM yang akan menyambut ulang tahun ke-56 esok adalah menjadikan negara aman dan bebas rasuah.

“SPRM sebagai agensi yang mencegah rasuah di negara ini mempunyai strategi dan kita akan gubal lagi strategi dengan lebih berkesan dengan cara dan teknologi yang baharu supaya rasuah ini dapat dimaksimumkan penguatkuasaannya dengan pencegahan yang lebih impak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, si sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Kamaruddin M.Ripin dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor Ghazali Abd Rahman.

Dalam pada itu, Azam juga menegaskan bahawa SPRM akan memfokuskan kes-kes berprofil tinggi yang mengakibatkan kehilangan dana rakyat sebagai misi dan visi utama agensi itu pada masa hadapan.

“Antara strategi kita ialah mengurangkan ketirisan dan kita akan memfokuskan kes-kes yang menyebabkan kehilangan dana dan wang kepada negara selain kes berskala besar,” katanya.

Lebih 50 pengamal media menyertai acara itu termasuk Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Selangor).

Februari lalu, Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, berkata sasaran utama SPRM ketika ini adalah melaksanakan siasatan dan pencegahan berkesan dan pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat dalam usaha kerajaan menangani rasuah.

SPRM juga akan memberi tumpuan kepada kes berskala besar bagi menyelamatkan wang rakyat dan tidak sekadar hanya tertumpu kes kecil atau membabitkan golongan ‘ikan bilis’ .

Azam juga menjelaskan, SPRM tiada kuasa untuk menentukan sama ada seseorang yang terpalit isu rasuah layak bertanding atau tidak dalam pilihan raya.

Beliau berkata kelayakan bertanding itu adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala SPRM hanya menyiasat isu berkait rasuah atau kesalahan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata, media mempunyai peranan penting dalam menyebarkan isu antirasuah dan salah guna kuasa.

“Kita mendapati sebanyak 90 peratus laporan antirasuah yang dilaporkan di media mendapat sambutan yang positif dalam kalangan masyarakat.

Justeru katanya , kebersamaan antara media dan SPRM harus dipertingkatkan menerusi pelbagai program menarik sepanjang tahun.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment