Sanusi tolak bertanding Naib Presiden Pas

ALOR SETAR 27 Sept. – Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor menolak untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden Pas pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan ke-69 parti itu bulan depan.

Menteri Besar Kedah itu berkata, keputusan tersebut dibuat kerana beliau berasakan belum layak untuk memegang jawatan berkenaan.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah dua kali menolak pencalonan bagi jawatan Naib Presiden itu sebaliknya hanya akan bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

“Dalam Pas kualiti untuk pimpin parti dan sektor lain berbeza cirinya. Jadi calon menang boleh tapi nak pimpin Pas kena ada ciri lain, sebab itu di Kedah saya boleh jadi Menteri Besar tapi Pesuruhjaya orang lain sebab kualiti dan ciri berlainan

“Saya tak ada ciri itu dan Pas juga tak sama macam parti lain,  sebab itu saya rasa saya sampai situ sahaja (AJK Pas). Saya percaya dalam parti berdasarkan merit iaitu kelayakan, keupayaan dan kemahiran. Bukan kerana politik atau kita pandai lobi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pemilihan di Muktamar Pas selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Selain itu, Muhammad Sanusi meramalkan tidak ada individu atau ahli Pas yang akan mencabar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu kelak yang kini disandang Abdul Hadi Awang dan  Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Dalam Pas bebas tak pernah ada halangan siapa nak bertanding boleh tapi tak ada orang bertanding. Tak boleh paksa orang bertanding dan saya jangka tahun ini pun tak ada pertandingan (Presiden dan Timbalan Presiden),” katanya.

Related posts

Leave a Comment