Tiada keperluan rombak Exco Johor

ISKANDAR PUTERI 27 Sept. – Tiada keperluan untuk Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat pada ketika ini, kata Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, ketika ini, Johor mempunyai hubungan kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim.

Beliau juga secara peribadi selalu berhubung dengan Perdana Menteri, dalam menangani pelbagai isu bagi membantu rakyat Johor walaupun ini kerajaan BN.

“Namun kita tetap berlaku adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH), di mana semua keperluan mereka dibantu, malah mereka juga menerima peruntukan sama seperti ADUN BN.

Jadi bagi saya, tiada (keperluan rombakan EXCO). Tetapi saya maklum permintaan pihak mereka (PH), itu pun melalui laporan-laporan berita. Tiada pertemuan rasmi yang dibuat berhubung perkara ini.

“Keadaan stabil pada masa ini dan saya fikir tidak perlu ada perubahan,” katanya pada sidang media selepas melawat Mini Karnival Maju Johor, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Onn Hafiz berkata pihaknya kekal bersikap terbuka dan perbincangan berhubung perkara itu sepatutnya dilakukan secara tertutup dan bukan melalui media massa.

“Dari segi rombakan Exco ini, ia bukan semudah itu. Tak kan saya hendak buang tiga Exco BN. Apa pun Johor ada cara Johor. Jadi apabila melibatkan soal seperti tukar Exco atau tukar Menteri Besar, semestinya perkara itu perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” tegasnya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan meminta agar kerajaan Johor membuat rombakan terhadap barisan Exco dengan memberikan tiga jawatan kepada ADUN PH.

Perkara sama turut disuarakan Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang memberitahu sudah tiba masa kerajaan Johor menerima wakil daripada PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Related posts

Leave a Comment