Dr Mahathir tidak faham kenapa dipersalahkan

PUTRAJAYA 18 Feb. –  Dr Mahathir Mohamad tidak faham kenapa beliau dipersalahkan selepas meletak jawatan Perdana Menteri Ketujuh sehingga menyebabkan berlaku kemelut politik dalam negara.

Bekas Pengerusi BERSATU itu berkata, pihak yang patut disalahkan adalah orang yang tidak menyokong pendiriannha ketika itu.

Katanya, ketika krisis politik pada 2020, beliau meminta parti berkenaan menangguhkan keputusan untuk keluar Pakatan Harapan (PH), tetapi tidak diendahkan yang menyebabkan kerajaan PH ketika itu tumbang.

“Saya letak jawatan kerana parti (BERSATU) tolak saya dan biasanya dalam demokrasi, apabila kita ditolak parti sendiri, maka kita akan letak jawatan.

“Malah, ketika itu juga saya juga sedar bahawa kerajaan PH akan jatuh kerana lompatan daripada pemimpin BERSATU dan beberapa Ahli Parlimen PKR. Apabila PH jatuh, saya nak jadi Perdana Menteri pun tak boleh kerana parti saya tidak lagi menjadi kerajaan,” kata Dr Mahathir pada sidang media bersama PUTRA hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini bertitah rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 dapat dielakkan jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri Ketujuh tidak berlaku.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada 13 Februari lalu.

Dr Mahathir menjelaskan, beliau tidak boleh menyerahkan tampuk kuasa kepada Anwar Ibrahim ketika itu kerana mengikut proses biasa, ia perlu diserahkan kepada Parlimen, tetapi Parlimen tidak bersidang pada masa itu.

Pada 23 Februari 2020 lalu, BERSATU mengumumkan keluar PH menerusi kenyataan Presidennnya, Muhyiddin Yassin, susulan keputusan dicapai Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan dalam mesyuarat khas yang diadakan malam sebelumnya.

Keputusan itu membuatkan Dr. Mahathir meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri Ketujuh pada keesokannya.

Mengenai dakwaan ada pihak meragui UMNO untuk membela orang Melayu selepas menyertai Kerajaan Perpaduan, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa UMNO tidak layak menjadi kerajaan.

Malahan beliau hairan parti itu masih diberi kepercayaan walaupun pemimpinnya berdepan 47 pertuduhan rasuah.

Bekas Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan sedia ada akan mengubah persempadanan pilihan raya, yang didakwanya akan mengancam kedudukan orang Melayu.

“Sekarang ini saya diberitahu, mereka berjaya kumpul sehingga dua pertiga majoriti (di Dewan Rakyat). Saya khuatir dengan majoriti ini, mereka akan tukar kawasan pilihan raya, menjadikan orang Melayu terpencil,” katanya.

Related posts

Leave a Comment