PH-BN tidak layak dapat undi PRK Pelangai

SEPANG 24 Sept. – Perikatan Nasional (PN) terbukti mempunyai rekod yang baik dalam membela nasib rakyat, bukan seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sekadar pandai menabur janji tetapi gagal menjaga kebajikan rakyat.

Justeru, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, mengambil kira kegagalan itu, PH-BN tidak layak mendapat mandat pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Muhyiddin berkata senario politik semasa membuktikan kedua-dua parti itu hanya pandai menabur pelbagai janji kosong yang tidak pernah dikotakan berbanding PN yang terbukti mempunyai rekod yang baik dalam membela nasib rakyat.

“Bukan seperti PH-BN yang sekadar pandai menabur janji tetapi gagal menjaga kebajikan rakyat. Sudah 10 bulan berlalu, masalah kekurangan bekalan telur telah melarat kepada masalah kekurangan bekalan beras tempatan.

“Rakyat hendak makan pun susah. Ini berbeza dengan dasar PN yang mengutamakan rakyat dengan memastikan makanan sentiasa ada di atas meja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, Muhyiddin mendakwa, sekatan hak kebebasan rakyat seperti hak kebebasan bersuara juga semakin menjadi-jadi sehingga bercakap soal hak Melayu pun disiasat oleh polis.

Manakala media yang melapor kritikan terhadap kerajaan diugut dan laman sesawang mereka disekat.

“Ahli Parlimen pembangkang yang kini 100 peratus Melayu/Bumiputera seringkali disiasat dan dihadapkan dengan pendakwaan yang karut-marut. Inilah realiti kerajaan PH-BN hari ini.

Malas bekerja untuk rakyat, tetapi kuat menganiaya parti lawan. Masalah rakyat tidak selesai, sibuk bermain politik kotor,” katanya sambil menambah PH-BN tidak layak untuk mendapat mandat pengundi-pengundi Pelangai.

Beliau merayu kepada para pengundi di Pelangai, memilih PN  yang telah terbukti prihatin terhadap nasib rakyat dan mentadbir negara dengan penuh integriti.

Related posts

Leave a Comment