Khutbah PM sentuh konsep Madani, Islamofobia

NEW YORK : Khutbah Jumaat Anwar Ibrahim di sini turut mempromosikan tata kelola berdasarkan konsep Madani yang menekankan pentadbiran berkonsepkan Islam bagi melindungi semua lapisan masyarakat.

Katanya, Malaysia menjayakan semangat Madani berdasarkan konsep negara Madinah yang mempromosikan kefahaman dan ilmu selain tidak mengenepikan kelastarian.

“Kita melindungi golongan miskin, minoriti, …kita menjayakan semangat Madani berdasarkan konsep negara Madinah yang mempromosikan kefahaman dan ilmu selain tidak mengenepikan kelastarian.

“Ia mempromosikan kebaikan dengan perbezaan difahami berdasarkan nilai kemanusiaan selain mempromosikan ehsan, belas dan rahmah,” katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Perdana Menteri adalah pemimpin asing pertama diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat oleh masjid pertama di New York yang dibuka pada 25 September 1995.

Melalui khutbah selama kira-kira 20 minit itu, Perdana Menteri menekankan adalah penting pentadbiran berkonsepkan Islam itu melindungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.

Beliau berkata, dalam usaha memperjuangkan dakwah, umat Islam akan berdepan pelbagai cabaran, namun ia tidak harus menghilangkan kesabaran.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa adanya kaedah dan prosedur dalam berdakwah yang perlu dilakukan dengan penuh kebijaksanaan dengan mempromosikan kebaikan,” katanya.

Menyentuh ancaman Islamofobia yang masih melanda dunia Islam hari ini, Anwar berpandangan situasi itu masih berlaku kerana kejahilan dan kurangnya toleransi dalam memahami dan menerima kepelbagaian agama.

“Pengalaman di Malaysia yang juga negara kelahiran saya, ia adalah negara dengan penduduknya menganut pelbagai agama dan kami sebagai Muslim tetap mempromosikan Islam dan dalam masa sama bertoleransi untuk penduduk agama lain seperti Kristian, Buddha untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Disebabkan itu saya melihat ini (Islamofobia) terjadi kerana kejahilan yang berleluasa, tindakan terburu-buru termasuk dalam kes membakar al-Quran di Sweden,” katanya.

Katanya, susulan tindakan membakar al-Quran, Malaysia memutuskan untuk bertindak balas secara berhikmah dengan memberikan ilmu dan kefahaman.

“Mereka bakar senaskah al-Quran, saya kemudiannya keluarkan arahan supaya kerajaan mencetak sejuta al-Quran termasuk 1,000 naskhah dalam bahasa Sweden yang diagihkan antaranya di sekolah, kolej dan universiti.

“Anda boleh menolaknya, tetapi saya pinta supaya rujuklah kitab ini dan fahaminya, bukannya terus memilih untuk dibelenggu dengan kejahilan sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment