Peraturan sia-sia tanpa penguatkuasaan, kesedaran

JIKA tidak ada sebarang halangan, mulai akhir tahun ini, semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok. Adakah perokok yang sering lepak di restoran, kadang-kadang sehingga larut malam atau awal pagi bersedia menerima peraturan ini? Terima atau reda sahaja peraturan itu jika sudah diwartakan sebagai zon larangan merokok. Persoalannya sejauh mana perokok akan mematuhi peraturan berkenaan dan setakat mana kerjasama yang mampu diberikan oleh pengusaha restoran? Ketika ini pun di kebanyakan restoran atau kedai makan sudah tertera peringatan ‘Dilarang Merokok’. Malangnya tidak ramai yang ambil peduli.

Lebih mendukacitakan, selamba sahaja mereka merokok di bawah tanda amaran itu. Begitulah sikap perokok yang tidak prihatin dengan peraturan serta orang sekeliling yang tidak merokok. Walaupun larangan itu belum berkuat kuasa tetapi sekurang-kurangnya boleh mendidik perokok untuk menghormati hak orang lain. Amaran itu juga tidak membawa makna apabila setiap meja di sesetengah restoran terdapat tempat membuang abuk atau puntung rokok. Ada meja dibiar kotor dengan abuk rokok dan di lantai di penuhi dikotori puntung rokok.

Satu perkara lagi, bagaimana mahu mendidik perokok supaya tidak merokok sekiranya rokok masih dijual di restoran berkenaan? Adakah dengan penguatkuasaan larangan merokok di restoran terbuka, rokok tidak akan dijual? Langkah untuk menambah senarai kawasan larangan merokok adalah satu keputusan yang baik bagi melindungi orang awam terutama bukan perokok. Cadangan ini merupakan tambahan kepada 23 kawasan larangan merokok yang sudah diwartakan. Kawasan yang terlibat termasuklah hospital atau klinik, tempat makan atau kedai berhawa dingin, kompleks membeli-belah, taman awam, hentian rehat dan rawat, tandas dan lif awam, lapangan terbang, stesen minyak, kawasan yang digunakan untuk aktviti perhimpunan, di dalam kenderaan awam, premis kerajaan dan juga kompleks sukan.

Langkah ini adalah inisiatif Kementerian Kesihatan bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017. Ia juga merupakan komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di samping itu ada juga negeri yang berusaha menjadikan negeri bebas asap rokok. Contohnya Pulau Pinang yang mahu merealisasikan hasrat itu dalam tempoh lima tahun akan datang. Langkah itu bukan mahu menyekat orang awam merokok sebaliknya mahu mengubah sikap masyarakat supaya menghormati hak individu lain atau masyarakat sekeliling untuk mendapatkan udara yang bersih dan bebas asap rokok. Bagi perokok, carilah lokasi yang dibenarkan untuk merokok. Jauhkan daripada bukan perokok.

Hasrat Kementerian Kesihatan untuk menambah kawasan larangan merokok hanya akan tinggal sebagai peraturan di atas kertas sekiranya tidak disusuli dengan penguatkuasaan. Di bawah peraturan 11 (3), Peraturanperaturan Kawalan Hasil Tembakau, mana-mana orang yang merokok di kesemua 23 kawasan yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun. Penguatkuasaan dijalankan oleh pegawai yang diberi kuasa di Kementerian Kesihatan. Tanggungjawab ini terletak kepada pejabat kesihatan daerah.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 45,799 notis kesalahan dikeluarkan kepada pesalah meliputi kesemua kesalahan termasuk yang merokok di kawasan larangan. Sebanyak 25,531 kompaun ditawarkan dan 20,268 lagi dikenakan tindakan mahkamah. Daripada kompaun yang dikeluarkan itu, sebanyak 23,813 kompaun dijelaskan dengan kutipan sebanyak RM2,511,621. Jumlah berkenaan mungkin sesuatu yang boleh dianggap besar berbanding kesalahan sebenar. Masalahnya penguatkuasaan yang tidak mampu meliputi semua kawasan sepanjang masa. Mungkin tanggungjawab penguatkuasaan itu perlu diperluaskan kepada penguat kuasa jabatan yang terlibat secara langsung dengan premis berkenaan. Golongan ini dapat membantu untuk menguatkuasakan larangan merokok di kawasan masing-masing.

Bagi menimbulkan kesedaran, publisiti boleh diberikan setiap kali perokok dikenakan tindakan mahkamah. Bukan bertujuan mengaibkan tetapi untuk mendidik. Tidak ada maknanya jika kerajaan menambah senarai kawasan larangan merokok tetapi tidak ada sebarang penguatkuasaan. Mungkin satu gerakan besar-besaran perlu dilakukan supaya orang ramai sedar dengan ‘kehadiran’ peraturan larangan merokok. Tanpa kes yang boleh dijadikan teladan, perokok akan terus dengan sikap tidak mempedulikan hak bukan perokok.

Satu lagi perkara penting ialah memupuk kesedaran orang ramai mengenai rokok dan merokok. Undang-undang atau peraturan tanpa penguatkuasaan serta tidak ada kesedaran orang ramai akan menyebabkan kawasan atau zon larangan merokok hanya akan tinggal sebagai catatan di atas kertas. Kesedaran itu termasuklah risiko kepada kesihatan, kewangan dan juga hubungan sesama insan. Berkaitan dengan kesihatan, pelbagai amaran dipaparkan. Jika bercakap, sudah kering air liur untuk memperkatakan mengenai bahaya merokok. Pelbagai penyakit akibat amalan rokok tidak dipedulikan. Slogan Merokok Membahayakan Kesihatan dipandang sepi. Kenaikan harga rokok juga tidak memberi kesan. Mungkinkah harga rokok akan dinaikkan lagi dalam pembentangan Bajet 2019?

Bagi yang beragama Islam, ada fatwa merokok itu haram tetapi ramai tidak peduli. Pelik. Jika enggan menerima fatwa, ingatlah juga kesannya yang ‘mengganggu’ orang lain. Ada bukan perokok tidak sanggup ke tandas selepas perokok merokok di dalamnya kerana kesan bau asap rokok itu akan ‘melekat’ di baju orang yang memasuki tandas berkenaan. Ketika di surau, perokok yang tidak mencuci mulutnya akan mengeluarkan bau yang boleh mengganggu jemaah lain.

Hormatilah orang awam yang tidak merokok. Mungkin sempena Maal Hijrah esok, ‘perokok tegar’ boleh membulatkan tekad mengucapkan selamat jalan kepada rokok. Tinggalkan keburukan dan berhijrahlah ke arah kebaikan. Selamat menyambut Tahun Baharu Hijrah.

UMA100918006C#

Related posts

Leave a Comment