Anwar pimpin Andrew peluk Islam

NEW YORK: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memimpin syahadah seorang lelaki memeluk Islam selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), tengah hari semalam.

Ketika Anwar beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew Vinals mahu memeluk Islam dan memintanya tampil.

Seorang pegawai masjid kemudiannya dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan.

Menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi.

Terdahulu , selepas selesai solat, pengacara mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sudi menerima jemputan pihak masjid untuk berjemaah dan berkhutbah.

Menurutnya, jemaah masjid amat bertuah kerana Perdana Menteri yang menerima sanjungan di peringkat antarabangsa, terutama dunia Islam hadir berjemaah di masjid berkenaan.

“Kita bersyukur kerana Perdana Menteri Malaysia sudi menerima jemputan dan jemaah berpeluang menemui pemimpin seperti Anwar,” katanya.

Sementara itu dalam khutbahnya, Anwar menyarankan umat Islam terus bersatu padu bagi menghadapi cabaran termasuk ancaman terhadap agama oleh golongan Islamophobia.

“Kita disarankan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam.

“Selain meningkatkan kesepaduan Islam, kita juga perlu memupuk hubungan dengan mereka bukan Islam supaya dapat membantu mereka lebih mengenali Islam ” katanya.

Selain itu, beliau meminta umat Islam bukan sahaja mendalami ilmu agama, sebaliknya menimba sebanyak ilmu dan kemahiran bidang teknologi.

Related posts

Leave a Comment