NEW YORK 22 Sept. – Malaysia sekali lagi menuntut masyarakat antarabangsa untuk terus bersuara menentang kekejaman, pencabulan hak asasi serta ketidakadilan yang dilakukan terhadap penduduk Palestin.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata terdapat kemunafikan yang nyata dalam usaha menangani isu Palestin.
“Hak asasi mereka dicabul, berlaku ketidakadilan dan penyalahgunaan oleh rejim,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di sini pada Jumaat.
Anwar menegaskan, di negara Asia Barat itu, rakyat Palestin diusir secara berterusan daripada penempatan mereka dan diganti dengan banyak penempatan haram, sekaligus melucutkan tanah rakyat Palestin yang menjadi hak milik mereka selama ini.
“Ini satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa. Ia juga menimbulkan halangan besar kepada penyelesaian dua negara, apatah lagi dengan pembunuhan yang berterusan,” katanya.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya, pencerobohan Rusia di Ukraine dan menyifatkan konflik itu mengabaikan usaha damai menerusi rundingan.
“Masa terus berjalan, berikutan kegagalan menangani krisis Russia-Ukraine yang panjang ini, saya menggesa usaha multilateral secara bersungguh-sungguh diketuai PBB untuk menyelesaikannya,” katanya.
Katanya, konflik yang berlarutan memberi kesan kepada penduduk dunia apabila harga makanan melambung, yang membawa kepada kekurangan bekalan hingga menyebabkan kelaparan dan kekurangan zat makanan serta menyebabkan rasa putus asa.
“Seperti konflik di tempat lain, sama ada di Asia Barat atau Asia Tenggara, ia turut mengakibatkan migrasi secara paksa, lambakan pelarian dan penduduk tanpa kerakyatan.
Justeru Perdana Menteri, menegaskan adalah penting kepada semua pihak untuk kembali berdialog dan menyelesaikan segala persengketaan di meja rundingan.
“Seperti konflik di tempat lain, sama ada di Asia Barat atau Asia Tenggara, ia turut mengakibatkan migrasi secara paksa, lambakan pelarian dan penduduk tanpa kerakyatan,” katanya.
