Kuasa besar mula ketepi fungsi PBB

NEW YORK 22 Sept. –  Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan sulungnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Perdana Menteri mengkritik kuasa besar dunia yang dilihat mula mengetepikan fungsi pertubuhan itu.

Beliau yang memulakan ucapan dalam bahasa Melayu, menegaskan kuasa-kuasa besar itu seharusnya berusaha untuk terus menyatakan kepentingan kelompok pelbagai hala.

“Assalamualaikum wbt dan Salam Malaysia Madani. Izinkan saya, bagi pihak negara dan rakyat Malaysia mengemukakan pandangan ke arah keamanan dan kesejahteraan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, September 2023.

“Hari ini, kita dapati kebanyakan kuasa besar dan mereka yang mengejar status antarabangsa yang lebih hebat mula tidak mengendahkan fungsi PBB demi platform yang lebih kecil, kononnya cara itu lebih berkesan.

Kuasa-kuasa besar ini seharusnya terus mempertahan kepentingan hubungan pelbagai hala (multilaterialism), sebaliknya apa yang berlaku ketika ini, kita dapati munculnya kelompok kecil negara (minilateralism) yang menyebabkan berlakunya perpecahan dalam percaturan kuasa,” katanya dalam Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB ke-78, di sini.

Anwar berkata, PBB diasaskan dengan visi memberi hak sama rata kepada negara berdaulat, mewujudkan dunia yang lebih demokratik berdasarkan semangat kesaksamaan dan keadilan

“Visi itu bertujuan menyekat yang lemah menjadi mangsa kepada yang kuat, yang kaya menindas yang miskin dan yang terpinggir, kuasa besar ke atas semua yang lain. Visi mereka (pengasas PBB) pada pendapat saya sudah musnah,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pembaharuan drastik, sistemik serta penjajaran semula keseluruhan institusi global adalah penting dalam menangani jurang luas di antara pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan yang mengakibatkan perbezaan berterusan.

Katanya, jika perkara itu tidak ditangani, dunia akan terus mengalami ketidaksamaan yang semakin ketara sekali gus membezakan negara dan rakyat.

“Ekonomi global juga diunjurkan terus dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi serta keadaan kewangan yang mencabar,” katanya.

Apabila pertumbuhan pendapatan gagal menyamai pertumbuhan ekonomi, akibatnya isi rumah menjadi terbeban dengan hutang.

“Kita kini mempunyai kalangan yang sangat kaya hidup di sisi golongan yang sangat miskin. Perbezaannya terletak jelas pada perkara yang penting: pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan asas, tempat tinggal, akses kepada pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan.

“Laporan Matlamat Pembangunan Mampan 2023 mengesahkan bahawa kita ketinggalan, dengan hampir satu pertiga daripada sasaran sama ada dalam keadaan inersia atau lebih buruk, mundur kembali,” tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara berdasarkan kerangka Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain.

“Awal tahun ini, saya memperkenalkan Malaysia MADANI — visi berasaskan tonggak nilai teras yang kami percaya amat diperlukan dalam mana-mana masyarakat yang berkembang maju dan aman harmoni — Ihsan, Hormat, Keyakinan, Daya Cipta, Kesejahteraan, Kemampanan.

“Prinsip asas dan nilai moral ini juga terpakai dalam konteks hubungan kami dengan negara-negara lain,” katanya.

Perdana Menteri juga menggesa negara maju menunaikan komitmen mereka untuk menyediakan AS$100 bilion setahun bagi menyokong negara membangun terhadap usaha aspirasi iklim sambil menyedari sejumlah trilion dolar setahun akan diperlukan pada masa hadapan.

Beliau berkata saintis telah mengesahkan dunia baru saja mengalami musim panas yang terpanas dalam sejarah. Kami baru saja mendengar Setiausaha Agung secara serius mengisytiharkan “kerosakan iklim telah bermula.”

Malah Malaysia sedang menyaksikan peningkatan dalam kesan buruk perubahan iklim, dengan peningkatan suhu, peningkatan paras laut, monsun yang bertambah buruk dan corak cuaca yang tidak menentu menggugat kehidupan dan mendegradasikan ekosistem tempatan. Justeru, kami tidak mahu membuang masa,” katanya.

Anwar juga berkata Malaysia memainkan peranannya dengan membangunkan pelan hala tuju rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui bagi melaksanakan strategi penyesuaian dan mitigasi.

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang baru dilancarkan seharusnya membantu kami dalam mencapai NDC (Sumbangan Nasional yang Ditentukan) kami, selain daripada memandu kami ke arah aspirasi sifar bersih kami,” katanya.

Related posts

Leave a Comment