Fuziah lapor polis video tular harga barang

KUANTAN 21 Sept. –  Berikutan video tular harga barang yang membabitkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini.

Laporan itu dibuat oleh pejabat Timbalan Menteri itu melalui Pegawai Khas Fuziah, Aidil Haryman Mat Nor.

Aidil Haryman memaklumkan tindakan itu bertujuan supaya siasatan segera dilaksanakan terhadap beberapa pengguna media sosial, yang catatan mereka dilihat berunsur fitnah dan menghasut rakyat agar mempercayai video lampau, yang tidak berkaitan dengan keadaan semasa.

“Saya merasakan bahawa perbuatan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan spekulasi serta menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang menteri Kabinet Malaysia, selain meremehkan usaha beliau sebagai seorang Timbalan Menteri.

Tulisan tersebut dengan sengaja mengaitkan dan mengaibkan Timbalan Menteri dengan tujuan menyakiti dan memfitnah beliau,” katanya.

Semalam, Fuziah dilaporkan berkata video yang melibatkan dirinya itu telah diambil di luar konteks dan ia merupakan rakaman lama yang dibuat beberapa bulan lalu.
Video berkenaan memaparkan beliau membayar beberapa barangan berjumlah RM136.30 dan berpuas hati kerana dapat membelinya pada harga bawah RM200.

Aidil Haryman berkata tujuan asal video tersebut dibuat sebelum ini, untuk menunjukkan perbandingan harga Jualan Rahmah Bergerak, dengan harga yang diperoleh dari sebuah pasar raya tempatan di Pulau Langkawi, Kedah dan bukannya barang keperluan satu keluarga untuk sebulan.

Namun, video itu telah disunting oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan oleh individu yang dipercayai dengan niat menghina dan mendatangkan kemarahan rakyat.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment