Bekas calon PRU15 dicalonkan semula

BENTONG 21 Sept. –  Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menamakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang masing-masing pernah bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

UMNO mencalonkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Amizar Abu Adam, yang pernah bertanding bagi kerusi DUN Kesulit pada PRU ke-15 (PRU15) tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Su Keong Siong.

Manakala Pas menamakan Naib Yang Dipertuan Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, yang bertanding pada kerusi yang sama pada PRU15 tetapi tewas kepada calon BN, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Nama-nama calon itu diumumkan malam tadi pada majlis pengumuman calon yang diadakan oleh pimpinan parti masing-masing.

Bagi BN, majlis pengumuman calon disempurnakan oleh Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, di Majlis Daerah Bentong, yang turut dihadiri pimpinan parti komponen PH.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pemilihan Amizar dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi saya harap, bagi rakan-rakan yang disebut (sebagai calon) tetapi tak tersenarai, tidak merajuk atau bercuti. Kita sebagai orang parti, tolonglah kawan kita ini (Amizar) untuk menang di Pelangai.

Ahli UMNO ada 3,040 orang di Pelangai, jadi saya harap kita ahli parti kerja keras, dapat keluarkan sekurang-kurangnya 90 peratus ahli kita keluar mengundi, terus bagi sokongan dan dukungan supaya calon kita boleh menang dengan cemerlang,” katanya.

Sementara itu  Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengumumkan calon yang akan mewakili PN dalam satu majlis di Simpang Pelangai yang juga dihadiri pimpinan parti gabungan PN.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas menghantar tiga nama untuk diteliti sebelum memutuskan Kasim yang juga generasi kedua Felda Bukit Mendi, sebagai calon.

“Beliau adalah calon anak tempatan dan juga bekas calon PRU15 lalu,” katanya.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong selepas penyandangnya,  Johari Harun, terkorban dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, bulan lalu.

Allahyarham memenangi kerusi berkenaan pada PRU15 dengan menewaskan Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH) dan Isa Ahmad (Pejuang) selain Kasim dengan majoriti 4,048 undi dalam saingan empat penjuru.

Related posts

Leave a Comment