KUALA LUMPUR 18 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan program Jualan Rahmah Beras esok yang menawarkan harga diskaun bagi membantu rakyat yang terkesan dengan harga makanan itu.
“Tunggu esok, kita lancar Jualan Rahmah Beras. Rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun subsidi oleh kerajaan di bawah KPDN,” kata Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh di Dewan Rakyat, hari ini.
Berucap ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini, Fuziah berkata, pihaknya juga akan mengumumkan mekanisme berkaitan program itu nanti.
“Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras, kita semua tahu ia berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) daripada A sampai Z.
“Beras adalah barang kawalan, KPDN tidak ada punca kuasa untuk mengawalnya, harga pun kita tidak ada kuasa (untuk kawal), tetapi setiap hari kita mendengar rintihan rakyat, ada yang merayu. Saya juga mendengar rintihan Ahli Parlimen yang mewakili rakyat.
Jadi, KPDN cuba mencari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, KPDN menafikan dakwaan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca akibat aktiviti penyeludupan atau ketirisan.
Fuziah sebaliknya mendedahkan 60 peratus daripada 60 juta minyak masak paket itu digunakan peniaga mikro yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi barangan itu.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas peniaga mikro setakat ini, selain menjelaskan pendekatan sedemikian perlu dibuat bagi mengelak peningkatan harga barangan lain di pasaran.
“Justeru, KPDN akan melaksanakan subsidi bersasar dengan ketetapan baharu iaitu golongan B40, sebahagian kumpulan M40 dan peniaga mikro dikategorikan sebagai penerima, membabitkan 5.8 juta isi rumah.
Mungkin kita perlu menambah jumlah kuota ini (pada masa hadapan). Justeru, saya berharap akan ada wakil rakyat membangkitkan perkara ini dalam perbahasan Bajet 2024 nanti,” katanya.
