KUALA LUMPUR 14 Sept. – Polis mengesahkan tangkapan ke atas seorang aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard, malam ini, tetapi ia tidak ada kaitan dengan perhimpunan yang dirancang Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan dilakukan disebabkan kegagalan Badrul Hisham menghadirkan diri selepas dipanggil polis berkaitan siasatan kes lain.
Terdahulu tular laporan tangkapan ke atas Badrul di luar ibu pejabat Pas ketika beliau dikatakan mahu menghadiri mesyuarat berkaitan perhimpunan 16 September ini.
Katanya, pihak polis sebelum ini sudah memanggil Badrul Hisham berhubung enam laporan polis yang dibuat terhadap kenyataannya.
Antara siasatan yang dijalankan adalah berkaitan isu Ambalat, iaitu mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Begitu juga pendedahan harta yang dimiliki Anwar Ibrahim menerusi aplikasi Tik Tok milik Badrul serta pembocoran dokumen sebuah jabatan kerajaan.
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Mohd Shuhaily berkata polis sudah beberapa kali memanggil Badrul Hisham untuk rakaman percakapan tetapi beliau gagal hadir membantu siasatan termasuk mengemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tiada pilihan dan memohon waran tangkap terhadap beliau berhubung kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.
“Justeru sidang media ini dibuat adalah mengelakkan sebarang spekulasi terhadap tangkapan beliau yang tiada kaitan dengan penganjuran perhimpunan Sabtu ini,” katanya.
Beliau hairan bagaimana bekas-bekas Perdana Menteri sendiri boleh memberi kerjasama penuh untuk proses rakaman percakapan dalam sesuatu siasatan, tetapi Badrul sering memberi alasan dan gagal memenuhi panggilan polis untuk siasatan
Katanya, iji hanyalah proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan dan jabatan akan menyelesaikan rakaman percakapan beliau ke atas lima kertas siasatan.
