Agong baca surat rakyat Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 14 Sept. –  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan kepada baginda oleh rakyat Sabah dan Sarawak sepanjang 11 hari pengembaraan Kembara Kenali Borneo yang berakhir semalam.

Menerusi satu hantaran di Facebook Istana Negara malam ini,  Seri Paduka Baginda akan menyerahkan setiap surat dan petisyen berkenaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak yang telah sudi berkongsi kisah suka dan duka serta pelbagai masalah menerusi surat dan petisyen tersebut.

Istana Negara juga turut berkongsi gambar Seri Paduka membaca surat-surat berkenaan yang  bertaip dan bertulisan tangan serta beberapa kad ucapan terima kasih dan kad ucapan Hari Kebangsaan.

Kembara Kenali Borneo bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lepas, dan berakhir di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Al-Sultan Abdullah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta paduka anakanda baginda.

Related posts

Leave a Comment