Langkah jangka pendek, panjang tangani import

SEPANG 14 Sept. –  Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan mencari punca kuasa dalam menangani isu kenaikan harga beras ketika rakyat dibebani kos sara hidup yang meningkat untuk tempoh dua tahun pasca Covid-19 yang lalu.

Dalam satu kenyataan, Putra berkata, pada masa yang sama, kerajaan perlu mengambil langkah bagi mengurangkan kebergantungan import.

Menurut Putra, dalam tempoh sebulan dua ini, harga beras tempatan naik sekitar antara 13 peratus dan 15 peratus di pasaran manakala India menghentikan eksport, kesan perubahan iklim selain kejatuhan mata ringgit.

Justeru, Pengerusi Biro Ekonomi Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, kerajaan perlu mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan sistem keselamatan makanan berada pada landasan yang baik.

Katanya, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan disaran menaikkan subsidi untuk beras tempatan bagi mengekal harga pada kadar biasa iaitu sebelum krisis kebaikan harga beras

Manakala bagi perancangan jangka masa panjang pihak kerajaan perlu mencari pendekatan yang holistik dengan mencadangkan Urban Farm yang terletak di kawasan-kawasan bandar atau pinggir bandar.

Disamping itu, kerajaan perlu memberi sokongan melalui dana-dana awam dan memastikan dana ini disalurkan pada pihak yang boleh dan terbukti sebagai usahawan yang mengusahakan penanaman padi.

Pada masa yang sama memperkasa institusi-institusi penyelidikan seperti MARDI, FAMA, Institusi Pertanian Malaysia (IPSM) dan sebagainya dalam memastikan peningkatan pendapatan negara dalam sektor pertanian yang komprehensif untuk kualiti dan kuantiti yang kesannya bagi mengurangkan kebergantungan import.

Putra mengingatkan larangan eksport beras daripada India memberi kesan kepada penurunan bekalan beras import berbanding keperluan yang konsisten sehingga mengakibatkan kenaikan harga beras import.

Beras import ini mungkin pada dasarnya adalah kepada golongan M40 dan T20 manakala beras tempatan mungkin majoritinya dalam kalangan golongan B40.

“Akibat kenaikan harga beras import ini, sebahagian golongan M40 dan T20 ini telah beralih mungkin sementara atau kebanyakkannya kekal kepada beras tempatan yang harganya jauh lebih rendah.

Justeru nilai keperluan beras tempatan meningkat manakala bekalan konsisten pada satu nilai memberikan kesan kepada kenaikan harga beras tempatan,” katanya.

Putra juga mahu kerajaan menangani kegiatan kartel beras yang selama ini menjadi lintah darat kepada petani manakala petani yang berpengalaman bertahun lamanya diberikan peluang untuk mengembangkan kreativiti dalam sektor pertanian.

 

Related posts

Leave a Comment