MELAKA 14 Sept. – Hak untuk pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, bukan hak Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh
Beliau berkata, seperti mana UMNO menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan diraja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, begitu juga PH perlu menghormati apa sahaja keputusan Agong terhadap Najib.
“Jangan memandai-mandai, `fullstop’ (noktah),” katanya dalam satu kenyataan, melalui media sosial hari ini.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, bahawa PH kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju pengampunan diberikan kepada Najib.
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi itu, berkata walaupun PH tidak bersetuju gabungan itu tidak mencampuri urusan berkaitan pengampunan terbabit.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO akan menganjurkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di seluruh negara sebagai menyambut Hari Malaysia ke-60, Sabtu ini.
Beliau berkata, majlis berkenaan akan diadakan serentak di seluruh negara bermula selepas solat Isyak dan penganjuran di setiap negeri itu akan dikendalikan oleh Pemuda UMNO negeri dengan lokasi akan ditentukan oleh kepemimpinan Pemuda negeri.
“Kita akan berhimpun Sabtu ini, tetapi bukan di jalanan, bukan di depan Sogo (Kuala Lumpur) sebaliknya di masjid di seluruh negara.
“Himpunan kita adalah untuk membaca Yasin dan solat hajat berjemaah bagi memohon kepada Allah supaya negara kita sentiasa dirahmati dan diberkati, manakala rakyatnya terus bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.
