PM guna helikopter semasa PRN?

KUALA LUMPUR 14 Sept. –  Dakwaan pembangkang berhubung penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini mendapat bantahan seorang penyokong kerajaan.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun mencelah ketika  Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membuat dakwaan demikian semasa membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)

Beliau meminta Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pembangkang di Parlimen menarik balik kenyataan berhubung dakwaan terhadap Perdana Menteri itu yang disifatkannua sebagai berniat jahat.

Tanpa mengendahkan permintaan Tze Tzin, Takiyuddin tetap meneruskan ucapannya dan keadaan itu menyebabkan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat menyatakan Tze Tzin mengganggu ucapan Takiyuddin.

Timbalan Speaker,  Ramli Mohd Noor kemudian menegur Tze Tzin dan meminta tidak mengganggu ucapan kerana Takiyuddin tidak memberikan laluan untuk pencelahan.

Ramli kemudiannya mencadangkan supaya Tze Tzin mengemukakan usulkan berhubung perkara itu kerana Takiyuddin berbahas dengan mengemukakan dokumen yang merujuk laporan media di luar Dewan Rakyat.

“Yang Berhormat Bayan Baru, apa-apa yang dilemparkan berdasarkan dokumen dirujuk di luar, mohon buat usul nyatakan spesifik supaya Speaker dapat membuat penilaian dan keputusan,” katanya

Tidak berpuashati dengan jawapan itu, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) bangun meminta Takiyuddin menarik balik dakwaan menyatakan Perdana Menteri menolak mengambil elaun baik pulih rumah hanya kerana hendak mengambil peruntukan menggunakan helikopter.

“Yang Berhormat Kota Bharu buat sangkaan jahat (kepada Perdana Menteri), minta tarik balik,” katanya.

Turut mencelah Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang meminta Takiyuddin menarik dakwaan kerana mengelirukan dewan dan sangkaan buruk dan tindakan mencelah oleh ahli Parlimen kerajaan bukan untuk kacau ganggu.

Manakala Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) bangun meminta ahli Parlimen kerajaan tidak mencelah hanya untuk membuat kacau ganggu sesi perbahasan.

Takiyuddin dalam perbahasannya berkata, beliau menerima aduan pengundi menjelang PRN di Sungai Besar mengenai kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Karnival Usahawan Desa yang mana menggunakan tiga helikopter.

“Karnival ini adalah program tidak besar… mengapa perlu menggunakan sehingga tiga helikopter… malah JKR Sungai Besar mengeluarkan puluh ribu hanya hendak buat ‘helipad’ (tapak pendaratan helikopter).

“Dan apa yang lebih melucukan lagi rakyat di Sungai Besar memberikan satu petikan dalam Sinar Harian yang memetik ucapan Perdana Menteri pada masa itu yang bertajuk PM tolak baik pulih kediaman dan kereta untuk bantu golongan sasar, yang sebenarnya tidak mengambil peruntukan kereta kerana nak menggunakan helikopter,” katanya.

Beliau juga membangkitkan tindakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Katanya, ketika PN memerintah beberapa negeri, mereka memberikan peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang – PH dan Barisan Nasional (BN)

“Kini mengapa mereka masih bermain tarik tali, berdolak dalik berhubung peruntukan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) … jadilah dewasa, hentikan politik pondan yang tidak bermaruah, hormatlah hak rakyat dan negeri yang sah secara terhormat dan jujur.

“Percayalah minda rakyat tidak akan berkembang dengan sikap kebudak-budakan ini dan negara akan terus terperangkap dalam politik mundur dan kelas kambing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment