Trumph kembali ke White House

WASHINGTON – Donald Trump kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan pencabarnya daripada Demokrat, Kamala Harris, pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, setakat pukul 5 pagi waktu tempatan menunjukkan bekas Presiden AS daripada parti Republikan itu hampir pasti melakar kemenangan dengan membolot 267 undi elektoral berbanding 224 yang diperoleh Harris, 60.

Mengikut sistem Kolej Elektoral, majoriti diperlukan untuk memenangi jawatan Presiden AS ialah 270 undi elektoral.

Dalam keputusan yang menjadi tumpuan seluruh dunia itu, Trump, 78, turut menguasai sekurang-kurang empat daripada tujuh negeri ‘medan tempur’ yang dijangka menjadi penentu keputusan pilihan raya kali ini, iaitu Pennsylvania yang mempunyai 19 undi elektoral, Carolina Utara (16), Georgia (16), dan Wisconsin (10).

Tiga lagi negeri ‘atas pagar’ yang belum diketahui keputusan ketika berita ini ditulis ialah Michigan yang mempunyai 15 undi elektoral, Arizona (11) dan Nevada (enam).

Malah, parti Republikan turut menguasai Senat, termasuk merampas dua kerusi, sekali gus menidakkan majoriti tipis Demokrat sebelum ini.

Bersama sorakan gempita penyokong yang melaungkan ‘USA’, Trump naik ke atas pentas di ibu pejabat kempennya di Florida, bersama isteri, Melania, dan anak-anak, untuk menyampaikan ucapan kemenangan penuh bersemangat.

“Kita akan membantu negara kita untuk pulih. Ia adalah kemenangan politik yang negara kita tidak pernah saksikan sebelum ini,” katanya yang memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2016 tetapi tewas kepada Joe Biden pada 2020.

Trump sekali gus menzahirkan penghargaan kepada rakyat AS atas ‘penghormatan dipilih ke jawatan kepimpinan tertinggi itu.’

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika atas penghormatan luar biasa dipilih sebagai Presiden ke-47 dan Presiden ke-45 (pilihan raya 2016) anda.

“Ini adalah kemenangan hebat untuk rakyat Amerika yang akan membolehkan kita menjadikan Amerika hebat semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment