Laksana tugas polis secara profesional

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan penganjur himpunan untuk memberi notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti waktu dulu.

Justeru, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara,  Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa penganjur perlu memohon permit lima hari sebelum tarikh perhimpunan juga adalah tidak tepat.

“Kami ingin memperbetulkan kenyataan yang dilaporkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara bahawa penganjur himpunan pada 16 September untuk protes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Zahid Hamidi perlu memohon permit daripada pihak berkuasa lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

Kami menggesa pihak polis untuk membantu pihak yang membuat protest dengan memastikan keselamatan peserta dan juga kawalan trafik,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bersih, sebelum ini sudah banyak perhimpunan aman diadakan termasuk Bersih 4 dan Bersih 5 dan ia berlangsung secara aman walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis.

“Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka,” kata Bersih.

Semalam, Ayob berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan permit bagi penganjuran perhimpunan aman ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan sempena Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ayob berkata, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu memohon permit sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan.

“Perlu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan dan kalau diikutkan, hari ini adalah hari terakhir permohonan permit perlu dibuat,” katanya seperti dilaporkan semalam.

Dalam pada itu, Bersih menempelak tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang perhimpunan aman diadakan, seterusnya menafikan hak rakyat dalam Perlembagaan kerana perkara itu adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

“Polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

Kami kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen semalam.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada ahli Parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bersih juga mengingatkan kerajaan bahawa mereka mendapat undi rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta yang disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

Berikutan itu Jawatankuasa Pemandu Bersih menggesa kerajaan untuk menunaikan serta menegakkan janji mereka sebelum ini.

“Janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji berkenaan kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji ini,” kata Bersih.

Related posts

Leave a Comment