Lapor polis jika ada bukti hasut guling kerajaan – Hadi

Lapor polis jika ada bukti hasut guling kerajaan – Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencabar mana-mana pihak membuat laporan polis jika terdapat bukti beliau menghasut supaya kerajaan digulingkan.

Beliau secara ringkas menyatakan perkara itu ketika menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan sama ada tindakan menghasut untuk menjatuhkan kerajaan sebagai suatu yang haram dalam Islam.

“Saya tak menghasut (untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan sedia ada). Kalau saya hasut, buatlah laporan polis sekali lagi,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menafikan percubaan menjatuhkan kerajaan sebagai suatu perbuatan haram dalam Islam, selain menegaskan tindakan itu dibenarkan mengikut proses demokrasi berparlimen.

Kerajaan boleh ditukar, sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen (Dewan Rakyat), mendapatkan akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen atau kerajaan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya semula.

“Ini (percubaan menjatuhkan kerajaan) boleh buat dan tidak salah, di mana Yang di-Pertuan Agong (ada kuasa untuk membubarkan Parlimen) di bawah Perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pelbagai cubaan menjatuhkan kerajaan terdahulu adalah punca Perikatan Nasional (PN) gagal membuat semakan semula ke atas perjanjian royalti petroleum ketika menerajui pentadbiran negara, sebelum ini.

“Sebenarnya kami banyak (perkara) mahu diuruskan. Masa kami memerintah (mentadbir) dahulu, ‘kerengga’ banyak sangat yang kacau mahu jatuhkan kerajaan. Masa mana nak baca perjanjian ini (royalti petroleum)?

“Kami terpaksalah tahan perjanjian (royalti petroleum) untuk mempertahankan kerajaan sehingga beberapa kali bertukar perdana menteri,” katanya menjawab celahan Lee Chean Chung (PKR-Petaling Jaya).

Chean Chung ketika mencelah mendakwa PN kekal menzalimi rakyat Terengganu apabila gagal menyemak semula perjanjian petroleum ketika gabungan itu menerajui pentadbiran negara, sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment