Jangan takutkan penganjur himpunan 16 Sept.

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Polis dan kerajaan diingatkan tidak menakut-menakutkan penganjur himpunan bagi membantah keputusan memberhentikan prosiding 47 tuduhan jenayah ke atas Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek mengingatkan demikian ketika merujuk kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara,  Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur himpunan yang diketuai Perikatan Nasional (PN) jika gagal mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, undang-undang yang dimaksudkan iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) adalah tidak berperlembagaan dan melanggar hak untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan itu tidak menimbulkan sebarang keraguan bahawa kerajaan pimpinan PH dan polis bersedia untuk mengambil tindakan dan ia adalah taktik sama yang pernah digunakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap Pakatan Rakyat yang kemudiannya dikenali sebagai Harapan.

Tidak ada jalan untuk berpatah balik ke arah reformasi, keberadaban dan kewarasan sekiranya kerajaan pimpinan PH menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) terhadap lawan politiknya.

“Jika kerajaan masih berdedikasi untuk melakukan pembaharuan, ia mesti membenarkan perhimpunan diteruskan tanpa sekatan atau gangguan polis dan mengambil langkah segera untuk memansuhkan APA.

Sekiranya tindakan jenayah diambil terhadap penganjur perhimpunan dan APA kekal sebagai undang-undang, maka ia akan menjadi penegasan yang kuat bahawa kerajaan ini sudah meninggalkan pembaharuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ayob Khan dalam kenyataan media kelmarin, berkata pihak yang ingin mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 16 September ini perlu mengikut lunas undang-undang, termasuk membuat permohonan menganjurkannya terlebih dulu.

Katanya, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu membuat permohonan lima hari daripada tarikh perhimpunan itu diadakan dan perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis di kawasan terbabit.

Ditanya tindakan polis sekiranya pihak berkenaan masih tidak membuat permohonan hari ini (11 September) dan bertegas untuk tetap mengadakan perhimpunan, Ayob Khan menjawab: “Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.”

Zaid berkata, kenyataan itu secara jelasnya adalah satu gangguan dan ugutan untuk menakut-nakutkan kerana tidak ada sebarang petanda yang menunjukkan bahawa perhimpunan itu tidak akan berlangsung secara aman.

“Menteri dan Ahli Parlimen PH sedar sifat APA yang menindas di mana mereka juga pernah dianiaya kerana dikatakan melanggar peruntukan itu apabila menganjurkan perhimpunan ketika menjadi pembangkang. Atas sebab inilah PH sebelum ini menggesa ia dimansuhkan.

“Tetapi kini PH yang dahulu pernah ditindas dan teraniaya nampaknya berubah pendirian dan menggunakan akta sama yang pernah mereka kecam ke atas pembangkang.

“Amat mengejutkan kerana beberapa menteri dan Ahli Parlimen dari PH mengulangi amaran yang dikeluarkan itu terhadap himpunan yang dirancang pada Hari Malaysia, di bawah undang-undang yang sama di mana mereka pernah menjadi mangsa,” katanya.

Pada 10 September lalu, media melaporkan Pemuda PN akan mengadakan satu perhimpunan aman di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu ini bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dilaporkan berkata kempen itu digerakkan pihaknya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Related posts

Leave a Comment