Syed Saddiq di blok pembangkang esok

KUALA LUMPUR 11 Sept. –  Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai esok susulan keputusannya menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata, beliau telah menerima surat daripada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.

“Saya telah menerima surat, beliau memohon untuk mengubah tempat, tidak ada masalah…saya telah meminta pihak pentadbiran mengubah tempat beliau ke tempat pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq dilapor menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ketika mesyuarat khas yang berlangsung hari ini, Presiden MUDA itu masih berada di blok kerajaan iaitu bersebelahan dengan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Foto beliau bersama Hishammuddin dikongsi oleh  Wee Ka Siong (BN Ayer Hitam), melalui Facebooknya.

Ka Siong dalam catatannya memaklumkan sidang khas yang berlangsung selama enam hari, bermula hari ini sehingga 19 September depan hanya fokus kepada satu agenda sahaja iaitu Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSPRMK12).

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen dijadual selama tiga hari bermula esok dan jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 serta 19 September.

Related posts

Leave a Comment