Teo Nie Ching pimpin Wanita DAP

KLANG 9 Sept. – Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching, dipilih sebagai Ketua Wanita DAP yang baharu, menggantikan Chong Eng yang menyandang jawatan itu selama 22 tahun.

Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, dipilih pada pemilihan sayap wanita itu sempena Kongres Wanita DAP di sini hari ini.

Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita, manakala Ahli Parlimen Bentong, Yong Syefura, sebagai Naib Ketua bersama bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasturiraani.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pula tersenarai sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita DAP.

Semua jawatan dipilih tanpa pertandingan berikutan hanya 15 pencalonan diterima untuk 15 jawatan dalam barisan kepemimpinan sayap wanita parti itu.

Sementara itu, Chong Eng, bekas Exco Pulau Pinang yang tidak tersenarai bagi mempertahankan DUN Padang Lalang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang baru-baru ini dipilih sebagai penasihat bagi sayap Wanita DAP.

Chong Eng berkata, beliau tidak mempertahankan jawatan kerana merasakan sudah tiba masanya untuk mengundur diri dan bagi laluan kepada generasi kepemimpinan baharu.

“Sudah cukup rasanya sejak saya berada dalam parti sejak 1992 lagi dan menjadi Ahli Parlimen pada 1999 dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang dan menjadi Ketua Wanita sejak 2001.

“Sekarang pun sayap wanita sudah semakin kuat selari dengan kekuatan DAP kini yang menjadi sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika pada 1999 hanya ada tiga daripada 10 wakil rakyat DAP di Parlimen wanita, kini jumlahnya semakin ramai dan ada wakil di DUN juga serta yang dipilih sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau menegaskan perkembangan Wanita DAP memberangsangkan dan kini diiktiraf sebagai sebahagian pemegang taruh dalam barisan kepemimpinan parti.

Sementara itu, Nie Ching menyatakan komitmennya untuk fokus kepada usaha mengarus perdana wanita DAP serta memperkasakan agenda wanita.

Beliau berkata, apa yang lebih penting kini adalah usaha kesamarataan gender dalam parti, yang mana wanita dalam parti itu diberikan layanan sama rata di semua peringkat parti.

“Jika wanita ada wakil di semua peringkat kepemimpinan, maka lebih mudah perjuangan dan pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan, ” katanya.

JAWATANKUASA EKSEKUTIF WANITA DAP

Penasihat: Chong Eng
Ketua Wanita: Teo Nie Ching
Timbalan Ketua: Yeo Bee Yin
Naib Ketua: Young Syefura Othman
Naib Ketua: Kasturiraani A/P Patto
Setiausaha: Wong May Ing
Penolong Setiausaha: Nicole Tan Lee Koon
Bendahari: Alice Lau Kiong Yieng
Setiausaha Organisasi: Liow Cai Tung
Penolong Setiausaha Organisasi: Thulsi Manogaran
Setiausaha Publisiti: Heng Lee Lee
Penolong Setiausaha Publisiti: Lim Yi Wei
Setiausaha Antarabangsa: Jannie Lasimbang
Pengarah Pendidikan Politik: Syerleena Abdul Rashid
Biro Undang-Undang: Sangeet Kaur Deo

AJK
Lan Suet Ling
Sally Sian Keng Eng
Hannah Yeoh Tseow Suan
Jennifer Poh Chiou Shya
Leong Yu Man (Co-Opt)
Wong Siew Ki (Co-Opt)

Related posts

Leave a Comment