Usul panggil Peguam Negara jelas kes Zahid

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan usul tergempar kepada Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Peguam Negara memberi penjelasan mengenai keputusan lepas tanpa bebas dalam kes Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi notis usul tergempar yang disiarkan dalam Facebooknya, Wan Ahmad Fayhsal meminta sidang pada 11 September ini ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Timbalan Perdana Menteri itu.

Katanya, usul ini adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan berkenaan kerana Ahmad Zahid adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan seorang Ahli Dewan Rakyat.

“Peguam Negara perlu menyatakan perkara yang menjadi asas kepada penarikan 47 pertuduhan itu sedangkan mahkamah memutuskan wujud prima facie dan Timbalan Perdana Menteri diarah membela diri.

Justeru usul ini hendaklah disegerakan memandangkan ia membabitkan imej baik serta kredibiliti institusi Peguam Negara yang secara umum sedang hangat diperkatakan,” katanya.

Isnin lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata penjelasan segera daripada Peguam Negara dapat melenyapkan persoalan serta pertikaian awam terhadap isu itu.

“Jadi usul ini penting bagi memastikan tiada campur tangan dari pihak kerajaan khususnya pimpinan tertinggi negara dalam kes berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik.

“Usul ini juga membabitkan kepentingan ramai untuk mengetahui mengapa 47 pertuduhan itu tidak diteruskan walaupun sebanyak 99 saksi pendakwaan sudah memberikan keterangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment