DNAA : Parlimen bukan mahkamah

KUALA LUMPUR 8 Sept. –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA)  Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan tidak boleh dibahas dalam sidang khas Dewan Rakyat.

Katanya,  platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah bagi membincangkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Tak apa itu pandangan anak muda. Kita santuni. Mana boleh kes mahkamah nak runding di Parlimen. Dia kena faham pembahagian kuasa. Parlimen bukan mahkamah yang boleh dia tanya soalan dan kita (kerajaan) cuba jawab.

Sebab Peguam Negara  bukan Ahli Parlimen dan bukan menteri. Jadi kita boleh harus ada ruang untuk mana-mana Ahli Parlimen bertanya. Tetapi jangan jadikan Parlimen itu sidang mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam, supaya diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid.

Begitu juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang menghantar usul tergempar kepada Dewan Rakyat untuk menghentikan sidang pada 11 September ini bagi memanggil Peguam Negara menjelaskan kes Ahmad Zahid itu.

Dalam pada itu Anwar berkata adalah tidak adil bagi MUDA mengancam untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO itu.

Perdana Menteri menjelaskan, kuasa untuk membuat keputusan terbabit bukan berada di tangannya.

Sepanjang memimpin kerajaan sekarang selama sembilan bulan, perdana menteri menegaskan langsung tidak pernah mencampuri urusan pihak berkuasa serta badan perundangan dan kehakiman yang menjadi tonggak negara ini.

“Maknanya kalau ugut saya tak setuju (tiba-tiba) tarik balik (sokongan terhadap kerajaan). Itu bukan bidang saya. Kalau kamu tarik balik pendakwaan kepada (Ahmad) Zahid, kami tak sokong kamu. Jadi maknanya saya mesti dakwa dan hukum?

Saya nak kata, yang siasat itu kerja SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan polis. Yang dakwa itu AG (peguam negara). Yang putuskan itu hakim. Mengapa saya kata faham sedikit sebanyak (timbul) keresahan? Sebab kita mewarisi sistem sedemikian.

“Bahawa orang politik rakus, zalim menggunakan kuasa untuk mendera orang. Saya lalui proses itu. Sekarang saya perdana menteri. Saya tak sanggup guna kuasa sebegitu rupa. Saya minta penjelasan tetapi oleh kerana orang itu biasa dengan sistem begini puluhan tahun, dia rasa beginilah nanti caranya.

Siapa jadi perdana menteri dia akan tangkap musuh, dia akan dera. Saya tak nafikan ini perjalanan yang sama. Tapi AG, ketua hakim dan menteri agama, …dalam jemaah menteri, kita tak pernah pergi ke perkara ini.

“Ketua (pesuruhjaya) SPRM, ketua hakim, peguam negara, …tanya mereka. Sembilan bulan saya (jadi) perdana menteri tak pernah campur. Oh tak percaya (pula)? Itu soal lainlah kerana itu pengalaman kamu. Keadaan berubah dan orang lain yang jaga,” katanya.

Menyentuh usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Perdana Menteri  menyatakan komitmen untuk menjayakan hasrat itu namun ia menelan masa lama dan kos tinggi untuk tujuan itu.

Related posts

Leave a Comment