Kemuka bukti kampit beras putih tempatan ditukar

SERDANG 7 Sept. –  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, meminta pihak yang mendakwa bungkusan beras putih tempatan ditukar kepada kampit beras import mengemukakan bukti sahih kepada pihaknya.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat sedemikian wajar tampil membuat aduan secara rasmi bagi membolehkan tindakan diambil.

“Kalau ada maklumat, sila bawa bukti dan buat aduan rasmi,” katanya pada sidang media selepas Dialog Belanjawan 2024 Bagi Sektor Padi dan Beras bersama pemain industri serta pihak berkepentingan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Mohamad sebelum itu dilapor berkata, pihaknya mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukar bungkusannya kepada kampit beras import.

Tindakan itu dipercayai dilakukan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan mudah.

Sementara itu, Azman memberitahu, berdasarkan operasi di lapangan menerusi 900 pemeriksaan di bawah Ops Jamin seluruh negara, pihaknya setakat ini tidak mengesan kegiatan menukar bungkusan beras putih tempatan seperti didakwa.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan dakwaan itu tidak berasas dan sedia mengambil tindakan atas kapasiti mengganggu tugas penjawat awam sekiranya tuduhan itu tidak betul.

“Itu andaian (tukar bungkusan beras putih tempatan kepada kampit beras import) orang ramai yang mendakwa perkara itu berlaku. Sebenarnya tiada aduan rasmi daripada mana-mana orang ramai.

Orang itu (yang melemparkan dakwaan) tidak membuat aduan rasmi seperti kilang mana dan lokasi ia berlaku.

“Kalau tidak berlaku (seperti didakwa), saya akan ambil tindakan undang-undang pada yang buat dakwaan itu, di bawah Peraturan Seksyen 20 iaitu mengganggu penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Tanpa menyatakan secara terperinci identitinya, Azman berkata, pihak yang melemparkan dakwaan itu pernah dibantu kerajaan dan dikatakan pernah berhutang dengan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).

“Mereka yang bercakap ini adalah wakil kilang yang sudah 10 tahun tidak wujud. Mereka keluarkan komen pasal tukar kampit (beras) ini dan adalah antara yang berhutang dengan BERNAS, yang kita selesaikan.

“Mereka tidak ada pengalaman, sudah 10 tahun tiada kilang dan sekarang sebutir beras pun mereka tidak proses. Sepatutnya dia membantu kerajaan supaya tidak merugikan dan meresahkan rakyat,” katanya.

Mengenai punca kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran, Azman menjelaskan ia disebabkan pembelian dalam kuantiti yang banyak dalam satu masa.

Justeru mulai hari ini, beliau mengumumkan penetapan had maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan bagi seorang pembeli, sehingga keadaan reda.

“Ada peniaga membeli beras putih tempatan dalam satu masa 500 hingga 700 kg, maka kita buat sekatan hari ini, cuma 10 beg (boleh dibeli) mengikut Peraturan 10(1)(b) bahawa setiap orang hanya boleh membeli maksimum 10 kampit beg atau 100 kg,” katanya.

Related posts

Leave a Comment