PUTRAJAYA: Kadar pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi antara 10 negara yang terendah di dunia, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, terdapat jurang perbezaan yang ketara di antara jumlah pesakit dalam senarai menunggu transplantasi iaitu seramai 10,747 orang, berbanding jumlah penderma organ selepas kematian iaitu 845 orang.
Beliau berkata, nisbah ketika ini adalah 0.7 penderma kepada sejuta populasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan sasaran nisbah satu penderma organ kepada sejuta populasi dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Pelbagai usaha diambil untuk menggalakkan lebih ramai berikrar sebagai penderma organ,” katanya selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika ini terdapat 370,130 pengikrar derma organ, dengan 22,268 daripadanya didaftarkan tahun ini.
Dr Zaliha berkata antara usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ termasuk melalui khutbah di masjid memandangkan masih ada orang beragama Islam tidak selesa dengan pendermaan organ.
Organ yang boleh didermakan selepas kematian adalah jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang manakala tisu yang boleh didermakan selepas kematian pula adalah kornea mata, injap jantung, tulang dan kulit.
Orang ramai boleh mendaftar sebagai pengikrar derma organ dengan mudah menerusi aplikasi MySejahtera dan maklumat terkini berkaitan pendermaan organ boleh didapati menerusi laman sesawang www.dermaorgan.gov.my atau media sosial rasmi Derma Organ.
