KUALA LUMPUR 4 Sept. – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menuntut penjelasan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan hari ini, MUDA menggesa Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penjelasan yang munasabah dan bertanggungjawab atas keputusan serta tindakan Jabatan Peguam Negara.
“Ini adalah kerana lantikan Peguam Negara dibuat bawah kuasa Perdana Menteri.
“Adalah sangat mengecewakan apabila Timbalan Pendakwa Raya bagi pihak Jabatan Peguam Negara memohon melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Pemohonan itu jelas memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid bila mana mahkamah telah putuskan terdapat `prima facie’.
“Keputusan ini juga adalah tidak munasabah kerana kes sudah pun dalam peringkat pembelaan yang mana saksi-saksi sudah dipanggil memberi kenyataan dan bukti telah ditampilkan,” kata kenyataan berkenaan.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
MUDA juga berpandangan perkara itu juga menimbulkan keraguan dan mengganggu gugat kepercayaan rakyat kepada ketelusan serta kebebasan institusi perundangan negara.
Dalam masa yang sama, parti berkenaan menggesa barisan pimpinan ahli politik dalam Kerajaan Perpaduan untuk tampil menyatakan pendirian mereka berhubung perkara ini.
“Rakyat berhak mengetahui. Sudah tiba masanya kita mempercepatkan reformasi institusi perundangan, khususnya dalam mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Jangan kita terlupa dan abaikan agenda reformasi dalam kita terbuai dengan percaturan Madani,” katanya.
