Haram: Bahasa mantik, satu bentuk kempen

KUALA TERENGGANU 4 Sept. –  Ungkapan ‘haram’ mengundi calon lawan yang diucapkan ahli politik ketika kempen pilihan raya disifatkan bahasa mantik politik biasa bukannya satu bentuk fatwa yang tertumpu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, penggunaan perkataan haram itu adalah satu bentuk teknik kempen dan daya tarikan dalam ceramah atau pidato bertujuan untuk menarik pengundi dalam pilihan raya.

Katanya, sebagai ahli politik, beliau menganggap itu bukan fatwa kerana fatwa ia tertumpu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan sebaliknya ia juga adalah untuk memberi semangat kepada pengundi serta penyokong parti.

“Pada saya kalau (haram) menjurus kepada individu, tidak bagus pun dari segi agama mengharamkan benda yang halal atau menghalalkan benda yang haram tapi dalam konteks politik ni, dia banyak bahasa mantik.

Bahasa mantik ini kalau kita tidak ada dalam suasana ucapan itu, kita tidak faham, kalau kita ada dalam suasana itu, kita akan faham dan kadang-kadang itu petikan haram sahaja dikeluarkan…apa maksud sebenarnya, sebab saya tak ada dalam suasana tu,” katanya pada sidang media dan penyerahan penajaan acara Mount Tebu Climbathon Challenge ’23 (MTCC’23) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, berkata demikian sebagai mengulas ungkapan Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin, yang menyebut haram untuk pengundi memilih PH-BN dalam ceramah kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai,

Mengulas lanjut, Razali berkata, ungkapan Muhyiddin itu hanya bertujuan memberi semangat, selain daya tarikan kepada pengundi dan bukannya bermaksud haram (berdosa) kalau tidak mengundi PN.

“Saya tidak fikir haram itu bermaksud berdosa (kalau tidak mengundi PN)…saya tak jangka ke situ, mungkin ayat dia lain, olahan dia lain…pada saya itu teknik kempen untuk menarik pengundi.

“(Dan) di sebelah sana pun macam-macam juga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, tapi pada saya biarlah kita berhemah dalam berkempen pilihan raya,” katanya.

Razali berkata, PH-BN kini sedang berada dalam ketakutan akan kehilangan kerusi di Parlimen Pulai kerana sekiranya PN menang di kerusi berkenaan, ia akan menidakkan dua pertiga kerusi Parlimen dimiliki kerajaan di Dewan Rakyat.

Sebab itu katanya, banyak sekatan kempen dilakukan terhadap PN seperti sekatan melalui media sosial, selain beberapa tindakan polis terhadap pemimpin parti berkenaan.

Related posts

Leave a Comment