Dakwaan DAP ‘abang besar’ tidak berasas

IPOH 4 Sept. –  Tindakan Perikatan Nasional (PN) melabel DAP sebagai ‘abang besar’ adalah tidak berasas memandangkan parti itu adalah rakan setia kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan yang bekerja sebagai satu pasukan.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menyifatkan dakwaan itu menunjukkan PN terlalu taksub dengan pemikiran kolot dan jumud.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana kami percaya akan jadi lebih kuat apabila bersama,” katanya pada sidang media selepas lawatan sekitar kawasan Parlimen Tambun, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin yang dilapor berkata kenyataan pimpinan UMNO kononnya DAP yang juga komponen Pakatan Harapan (PH) kini sudah berubah dan menjadi lebih sederhana, hanya indah khabar daripada rupa.

Radzi dilapor berkata, DAP menunjukkan sifat sebenar parti itu apabila tetap bertegas tidak akan menggugurkan agenda negara sekular dan konsep ‘Malaysian Malaysia’ walaupun disarankan UMNO Pulai.

Mengenai lawatan kerja hari ini, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan mengumumkan peruntukan RM10.73 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam serta penggantian lif di sekitar Parlimen Tambun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM3.25 juta diperuntukkan antaranya bagi penggantian longkang, gutter, dan penggantian lampu jalan jenis SON kepada LED, pembangunan landskap persekitaran; selain RM1.7 juta untuk projek penurapan jalan dan menaik taraf longkang, dewan serta pasar.

“Selain itu RM 5.78 juta diperuntukkan bagi penambahbaikan dan penyelenggaraan serta penggantian lif yang akan dilaksanakan LPHP dan Bahagian Pelaksanaan dan Perkhidmatan Jurutera Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun ini,” katanya.

Antara kerja itu adalah mengecat bangunan dan kerja berkaitan di Pangsapuri Seri Kepayang; mengganti bumbung baharu di Rumah Pangsa Buntong Permai; baik pulih pagar dan jalan di Rumah Pangsa Jalan Pasir Puteh; membina pagar baharu di Pangsapuri Laksamana Amanjaya di Teluk Intan; penggantian lif di Pangsapuri Seri Kepayang dan menyelenggara lif di Pangsapuri Simpang Perdana di Taiping.

Kor Ming berkata, setakat bulan lalu, KPKT sudah meluluskan 29 projek di bawah peruntukan pembangunan BP.1 dengan jumlah peruntukan RM10.16 juta kepada MBI bagi kerja bina baharu dan naik taraf infrastruktur serta kemudahan awam di kawasan MBI.

Related posts

Leave a Comment