“Cikgu mana tak sayang anak murid”

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sesuatu yang mengejutkan.

Secara sinis beliau berkata, semua harus bersyukur kepada Allah kerana kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melepaskan Presiden UMNO itu daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

“Hinggakan terdapat kenyataan yang dibuat Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang berbunyi: ‘Jika terdapat pendakwaan kes di masa depan, namun tidak berhasrat untuk meneruskan kes, ia akan membazirkan masa mahkamah dan wang rakyat,”.

“Bila saja Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), untuk semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram selepas Jabatan Peguam Negara menghentikan semua prosiding, walaupun wujud prima facie serta kes sudah diperingkat bela diri – ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Cikgu mana tak sayang anak murid. Lagi-lagi kalau anak murid itu sanggup melakukan apa saja untuk cikgu, hatta menggadai prinsip perjuangan dan maruah parti. Mestilah ada timbal-balasnya,” katanya melalui akaun Facebooknya, hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.

Hamzah dalam nada sinis juga percaya dengan pelepasan Ahmad Zahid, pelabur akan bertambah yakin kerana terbukti pemimpin negara adalah pemimpin yang sentiasa dilindungi, lebih-lebih jika memegang tampuk kepemimpinan tinggi dalam negara.

“Ekonomi negara juga akan berkembang lebih pesat dengan pelepasan ini dan kita perlu yakin bahawa masalah harga barang serta kenaikan kos sara hidup akan boleh diselesaikan dengan segera selepas pelepasan ini.

“Tahniah dan syabas kepada Ahmad Zahid,” katanya.

Related posts

Leave a Comment