Persefahaman gagal akibat pertembungan prinsip

KUALA LUMPUR 31 Ogos –  Kengganan Pas bekerjasama dengan DAP atau kenapa DAP menolak Pas adalah disebabkan pertembungan prinsip diperjuangkan masing-masing iaitu Islam sebagai al-din dan ‘Malaysian Malaysia’.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata Pas tidak pernah berganjak daripada prinsip Islam sebagai al-din, bukannya konsep agama yang difahami mengikut takrif sekularisme.

Beliau berkata,  prinsip berkenaan antara lain mewajibkan Islam memiliki kedudukan berdaulat, bukannya konsep pemisahan dengan agama atau ‘Malaysian Malaysia’ yang berperanan menghapuskan rupa bangsa.

Menurut Abdul Hadi, pertembungan berkenaan menyebabkan DAP keluar atau memaksa Pas untuk keluar daripada persefahaman politik (tahaluf siyasi) kerana melanggar prinsip perjuangan parti Islam itu.

Bagaimanapun, katanya, DAP sebelum ini, menerima konsep negara berkebajikan ditawarkan Pas mengikut kefahamannya yang sempit, membolehkan tahaluf (persefahaman) dilakukan.

“Apabila DAP mahu mengheret Pas keluar daripada prinsipnya dan menginginkan Pas tunduk kepada prinsip sekularisme yang menjadi perlembagaannya, serta konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi hala tujunya, maka berlakulah pertembungan.

“Pertembungan ini yang menyebabkan DAP keluar atau memaksa PAS untuk keluar daripada persefahaman politik (tahaluf siyasi) yang diharuskan kepada persefahaman tahaluf yang diharamkan, kerana melanggar prinsip perjuangannya.

DAP menerima konsep negara berkebajikan yang ditawarkan Pas mengikut kefahamannya yang sempit, membolehkan tahaluf (persefahaman) dilakukan,” katanya melalui tulisannya Minda Presiden Pas bertajuk “Pas memperkenalkan negara berjebajikan berkonsepkan Islam”.

Menurut Abdul Hadi, apabila Majlis Syura Ulamak mengeluarkan Dokumen Negara Islam yang lengkap untuk dijadikan panduan, tiba-tiba DAP mendedahkan sikapnya yang menentang Islam.

Mereka secara terbuka menentang Islam dengan membela golongan yang murtad, menentang pengharaman arak dan judi, serta pelaksanaan beberapa agenda Islam yang lain, walaupun semua perkara itu dihadkan kepada penganut Islam sahaja di peringkat negeri yang diperintah oleh Pas.

Keadaan ini mempengaruhi kalangan bukan Islam yang menyokong Pas dan ditubuhkan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) daripada golongan bukan Islam untuk berdepan dengan situasi tersebut.

Sebelum ini, Pas dan DAP menjalin kerjasama menerusi tahaluf siyasi yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat (kini dikenali sebagai Pakatan Harapan) bersama PKR, selama 14 tahun, antara 1999 hingga 2013.

Bagaimanapun, Pas dilapor memutuskan kerjasama, selepas dikatakan DAP mengamalkan sikap campur tangan ke atas dasar membabitkan Islam serta pergeseran membabitkan beberapa isu yang gagal dipersetujui kedua-dua parti itu.

Mengenai PKR, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu antara lain mendakwa, PKR kononnya mahu mengambil pendekatan seperti Presiden Recep Tayyip Erdogan yang memperkenalkan konsep Sekularisme Islam di Turkiye.

Bagaimanapun, katanya, kepemimpinan di Turkiye berdepan masalah dengan Perlembagaan Turkiye warisan Mustafa Kemal Ataturk yang mewajibkan sekularisme dan mengharamkan agama, khususnya Islam daripada aspek bernegara dan berpolitik, dalam keadaan rakyatnya semua berbangsa Turki dan beragama Islam.

“Erdogan dipaksa mengadakan perjanjian yang memaksanya meneruskan konsep sekularisme dalam Perlembagaan Turkiye. Namun, beliau menegaskan kerajaan Turkiye akan melaksanakan konsep demokrasi liberal, termasuk bagi amalan Islam terpilih.

“Ia berbeza dengan Malaysia apabila pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sekali gus memberi ruang untuk mentafsirkan Islam dengan jiwa bangsa yang merdeka.

“Bagaimanapun, kita menghadapi keadaan apabila terdapat beberapa jadual dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda dan adanya kaum bukan Islam dibawa penjajah.

“Mereka dibawa ke Tanah Melayu untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada penduduk sehingga mengasak kedudukan penduduk asal Melayu yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan juga memberi hak kebebasan beragama kepada masyarakat bukan Islam seperti diamalkan di negara Islam dengan ia diterima golongan bukan ekstrem dalam kalangan MCA dan MIC pada awal kemerdekaan.

Malangnya, hak kebebasan itu diganggu-gugat dengan kedatangan DAP yang dikatakan ekstrem, sekali gus menyebabkan peranan Pas perlu ditambah supaya mengekalkan kepimpinan Melayu Islam dan membawa konsep yang adil kepada semua kaum.

“Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turkiye dan Iran kerana situasi dan banyak keadaan berbeza. Sebenarnya, masih banyak peluang di Malaysia untuk melakukan perubahan ke arah Islam berdaulat dengan syarat golongan Melayu Islam sendiri yang bersatu melakukan islah dan tajdid sangat berbeza dengan konsep reformasi.

“Banyak perkara salah laku DAP yang bersahabat dengan PKR dan menggunakan PAN (Amanah), menjadi ancaman kepada politik negara yang makin terserlah, khususnya terhadap kedudukan Islam dan kepimpinan Melayu Islam yang wajib dipertahankan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, apa yang menjadi masalah ialah PKR dan PAN yang menjadi penumpang (dalam Pakatan Harapan) termasuk dalam buah catur digerakkan DAP yang mendominasi dan masih bersikap ekstrem.

Beliau juga menjelaskan Majlis Syura Ulamak sejak zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah bersetuju untuk membawa suatu pendekatan baharu dalam Pas yang dinamakan ta‘awun siyasi dengan UMNO tanpa menyertai Barisan Nasional (BN).

Antara hasilnya ialah pembentangan Usul Persendirian Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang mengandungi pindaan terhadap pelaksanaan beberapa hukum Islam, khususnya dalam aspek hukuman takzir seperti sebatan yang bersifat menyeksa dalam undang-undang sivil kepada hukuman mendidik yang tidak menyeksa kepada penganut Islam sahaja.

“Malangnya, perkara ini mendapat bantahan daripada DAP bersama PAN yang berucap bagi pihak DAP (sila lihat hansard Parlimen),” katanya.

Related posts

Leave a Comment