Malaysia akan hantar nota bantahan

PUTRAJAYA 31 Ogos –  Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada China susulan tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023‘, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Menteri Luar,  Dr Zambry Abdul Kadir, berkata nota bantahan itu adalah tindakan lanjut yang akan dibuat selain menegaskan perkara itu menjadi amalan Malaysia dalam sebarang pertikaian.

“Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan (semalam) dan amalan kita, kita akan buat nota bantahan itu kerana itu sudah menjadi amalan kita.

“Jadi, berdasarkan kenyataan yang sudah kita buat, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Wisma Putra menerusi kenyataan semalam memaklumkan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Jelasnya, Peta Standard China Edisi 2023 itu yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia

Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Semalam, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Related posts

Leave a Comment