Larang sentuh 3R tak sah, Dr M sedia ke mahkamah

PUTRAJAYA 30 Ogos – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pendiriannya berhubung larangan menyentuh isu berkenaan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi diraja adalah undang-undang yang tidak sah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, larangan itu tidak digubal menjadi sebuah undang-undang yang dilulus dan diwartakan di Parlimen.

“Saya tidak faham kenapa saya disoal, kerana arahan tidak boleh guna 3R tidak sah. Kalau nak buat undang-undang bukan (kuasa) PM (Perdana Menteri), tetapi dia perlu pergi ke Parlimen.

“Kalau Parlimen lulus dan diwartakan sebagai undang-undang barulah undang-undang itu berkuasa, tapi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat keputusan tanpa rujukan kepada sesiapa dan ia kononnya dijadikan undang-undang sehingga polis bertanya kepada saya macam-macam,” katanya.

Justeru beliau sedia didakwa di mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Minggu Negarawan yang membincangkan tajuk Peradaban dan Sosiologi di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Bukit Aman yang mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan ke atasnya berkaitan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.

Menurut Dr Mahathir larangan berhubung isu 3R itu dilihat sebagai satu bentuk tekanan daripada kerajaan melalui pihak polis.

“Siapa sahaja bercakap pasal bangsa, agama dan raja-raja akan disoal oleh polis, ini adalah satu cara penekanan, ‘its a form of torture’ (ia satu bentuk tekanan) sebab semua orang takut kalau polis datang.

“Kerajaan guna polis mengugut rakyat supaya jangan bercakap berkenaan perkara yang kerajaan tidak boleh jawab,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau didatangi pihak polis bertujuan merakam keterangannya berhubung dakwaan itu semalam, namun memilih untuk tidak menjawab soalan diajukan dan bersedia perkara itu dibawa ke mahkamah.

“Saya disoal dan biasanya saya minta didakwa ke mahkamah dan saya akan jawab soalan. Yang soalan mereka (polis) saya tidak jawab. Saya beritahu polis, saya suka dibicara di mahkamah. Boleh saya beritahu kepada seluruh rakyat kesilapan yang dilakukan kerajaan,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan merakam keterangan Mahathir berkaitan kenyataannya yang didakwa berunsurkan penghinaan terhadap institusi diraja.

Dr Mahathir dalam kenyataan melalui Facebooknya semalam, berkata,
Kerajaan tidak boleh melarang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara.

Katanya, larangan 3R terlalu umum kerana tidak dijelas kenapa dan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.

“Apakah kalau saya kata “Saya orang Melayu” maka ia mengancam keselamatan negara. Jika saya kata “Orang Melayu menghadapi masalah” maka saya dianggap sebagai pemberontak yang polis perlu soal saya.

“Saya kata saya beragama Islam, maka ini juga melanggar arahan Perdana Menteri.

“Kalau saya salah maka Perlembagaan juga salah kerana Perlembagaan menyebut “Islam” sebagai agama rasmi Malaysia. Salahkah kalau saya kata kita punyai “Raja Berperlembagaan”?, “ katanya.

Beliau berkata, larangan yang terlalu umum itu menyebabkan rakyat takut disalahkan apabila menyebut bangsa, agama dan raja.

“Polis ikut penceramah seolah-olah hendak cekup mereka. Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka. Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat,” katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan Perdana Menteri bukan bebas untuk membuat undang-undang, begitu juga polis dan MACC juga tidak bebas bertindak sesuka hati sebaliknya semua gerakan Kerajaan mempunyai cara dan undang-undang yang perlu diikuti.

“Negara ditadbir mengikut undang-undang. Tiap suatu yang hendak diperbuat oleh Kerajaan ada caranya. Kita punyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Cara manakah yang dibuat oleh Perdana Menteri dengan tiba-tiba merampas hak rakyat dan hak parti-parti politik bercakap. Cuma pemerintahan kuku besi sahaja yang memberi kuasa tanpa had kepada pemerintah,” ujar Dr Mahathir.

Related posts

Leave a Comment