SHAH ALAM 28 Ogos – Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini membincangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan mesyuarat itu bertitah, segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang.
Menurut baginda, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah isu sensitif dalam kalangan umat Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di Sabah dan Sarawak.
Justeru, ia perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.
Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat MKI Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyentuh mengenai penyebaran fitnah kononnya lebih 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup, Sultan Selangor menzahirkan rasa kesal dengan fitnah itu.
“Sesungguhnya fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat beta kesali kerana ia telah secara tidak langsung merisaukan para ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri Selangor,” titah baginda.
Baginda juga mahu golongan berkenaan segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu.
“Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah langkah pemutihan perlu diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar bagi memastikan sekolah-sekolah ini selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk pelajar menimba ilmu.
“Beta menyeru kepada mana-mana Institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar,” titah baginda.
Baginda juga mencadangkan agar pihak Jakim menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran Institusi-institusi Tahfiz Swasta dan Persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri.
