Kursi Ismail Sabri Yaakob di TGBC

BANGKOK: Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Thailand, secara rasmi menubuhkan Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan Bahasa Melayu di rantau ini.

Pejabat bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penubuhan kursi terbabit diumumkan oleh Pengarah TGBC, Dr Prattana Srisuk, pada satu majlis di sini, hari ini.

Kursi itu khusus untuk memperkenal serta mempromosikan pengajian Bahasa Melayu dan ketamadunan Melayu di kolej terbabit dan di Thailand.

Difahamkan, ia adalah kursi pertama di institut pengajian tinggi (IPT) di Thailand yang khusus untuk pengajian dan penyelidikan ketamadunan Melayu dan bahasa Melayu.

Sementara itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada TGBC kerana mengiktiraf usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di rantau ini.

Bekas Perdana Menteri itu berharap penubuhan kursi berkenaan akan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di negara berkenaan.

Bahasa Melayu mempunyai kira-kira 300 juta penutur di rantau Asia Tenggara. Di Thailand juga tidak asing. Majoriti penduduk di selatan Thailand boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

“Saya berharap usaha ini akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pendigitalan Keluarga Dunia untuk Keamanan Sejagat’ di kolej itu.

Related posts

Leave a Comment