SHAH ALAM 28 Ogos – Satu Jawatankuasa Khas perlu ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda bertitah demikian berikutan terdapat beberapa kes yang sedang berlangsung menggambarkan kedudukan Enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar sekali gus menjejaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri.
“Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda..
Sultan Selangor bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Baginda berpandangan penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas diberikan kepada DUN di dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah bagi orang Islam.
Titah baginda, Jawatankuasa Khas itu perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu itu dapat dibuat.
Susulan itu, Sultan Sharafuddin berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir pada mesyuarat itu, dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan Jawatankuasa Khas berkenaan dan mengemukakan syor kepada MKI, seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan berkenaan.
Baginda juga dukacita dengan dakwaan sebelum ini yang mempertikaikan kaedah rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadhan serta menentukan anak bulan Syawal.
“ Walaupun mereka menyatakan tujuannya adalah untuk menegakkan hujah, tapi kenapa sampai menimbulkan keraguan tentang kearifan para mufti yang memahami ilmu falak dan mengambil keputusan yang tidak bertepatan dengan apa yang telah dipersetujui.
Ini sudah tentunya menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam yang akhirnya boleh mengundang kepada perpecahan,” titah baginda.
Bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa akan datang, baginda menyarankan Jakim mengeluarkan satu ketetapan yang muktamad berkaitan dengan kaedah penentuan tarikh permulaan Ramadhan serta menentukan anak bulan Syawal melalui ruqyah dan hisab.
