Sejauh mana UMNO beri nilai tambah

KOTA BHARU 27 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bakal menguji sejauh mana UMNO itu dapat memberi nilai tambah kepada kerajaan Madani.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa berkata, ia berikutan UMNO dilihat gagal berbuat sedemikian pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

“PRK pada 9 September depan akan menguji sejauh mana UMNO dapat ‘ditunggangi’ Pakatan Harapan (PH) di Johor,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, semalam.

Annuar berkata, PRK kali ini tidak membabitkan calon daripada UMNO, justeru parti itu khususnya UMNO Johor, boleh menarik nafas lega.

Beliau berkata, ini kerana kedua-dua kerusi Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram disandang Amanah, dan merupakan kubu terkuat PH di Johor dengan berbekalkan sokongan pengundi bukan Melayu yang ramai di sana.

Namun, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, perlu diingat bahawa Bangsa Johor adalah pelopor yang menjadi teras pembinaan serta kuasa pemerintahan Tanah Melayu dan Malaysia.

Aliran pemikiran politik Bangsa Johor mempunyai tahap kematangan amat tinggi, terutama dalam kalangan Melayu Johor. Pemikiran pemimpin Melayu Johor agak terkehadapan, termasuk pemimpin UMNO Johor.

“Justeru, tidak mustahil Bangsa Johor akan mengundi secara bijaksana untuk menghantar isyarat kepada pemimpin UMNO luar Johor yang dilihat terus menjadi liabiliti kepada parti itu sendiri.

“Jika itu berlaku, tidak mustahil Bangsa Johor akan memberi sokongan secara pukal kepada Perikatan Nasional (PN), dan ia akan menjadi ubat pahit terakhir untuk membaiki UMNO yang jelas masih dalam keadaan ‘total denial’ (penafian total),” katanya.

Katanya, Bangsa Johor juga mungkin akan menjadi pembimbing penyatuan ummah, khususnya orang Melayu, dengan memberikan undi progresif kepada muafakat dan gelombang rakyat melalui calon PN.

Related posts

Leave a Comment