Pemimpin utama GPS dicabar

KUCHING 7 Dis. – Semua pemimpin politik utama negeri berdepan persaingan pelbagai penjuru, di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 18 Disember ini.

Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berdepan cabaran tiga penjuru di DUN Gedong selepas meninggalkan DUN Satok yang diwakili selama sembilan penggal.

Abang Johari akan dicabar calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Kamal Bujang (Amanah) dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango.

GPS adalah gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), diwujudkan selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN)

Sementara itu Presiden PDP, Tiong King Sing, pula menghadapi pertandingan lapan penjuru untuk kerusi DUN Dudong.

Ahli Parlimen Bintulu itu akan dicabar oleh calon-calon  DAP, PSB, PBK, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak baru (PBDSB) dan dua calon Bebas.

Di DUN Batu Kawah pula, Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian menghadapi saingan empat penjuru membabitkan Fong Pau Teck daripada ASPIRASI, Chai Kueh Khun (PBK) dan wakil DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Kerusi DUN Baleh yang sebelum ini diduduki presiden sebuah lagi parti komponen GPS, iaitu PRS, Dr James Masing yang meninggal dunia 31 Oktober lalu, bakal menyaksikan persaingan empat penjuru.

Ia membabitkan calon parti itu, Nicholas Kudi Jantai Maseng, Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (PBK) dan Koh Kumbong (PSB).

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri,  Douglas Uggah Embas berdepan saingan tiga penjuru dengan calon PKR dan PSB dalam perebutan kerusi DUN Bukit Saban.

Uggah, calon GPS itu akan dicabar oleh Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB).

Pada PRN 2016, Uggah yang bertanding atas tiket BN – PBB, menang kerusi Bukit Saban selepas memperoleh majoriti 4,599 undi menewaskan calon PKR, Noel Changgai yang hanya mendapat 925 undi.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah Ali Hasan berdepan cabaran tiga penjuru di DUN Bukit Sari iaitu Riyah Basrah (PBK) dan Alias Mail (PSB).

Bagi pemimpin pembangkang pula, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen terbabit dalam pertandingan empat penjuru dengan Presiden ASPIRASI, Soo Lina,  Wee Hong Seng (SUPP) dan Raymond Thong Ee Yu (PBK) untuk kerusi DUN Padungan.

Presiden PSB, Wong Soon Koh pula berdepan empat pencabar di DUN Bawang Assan yang terdiri dari Robert Lau Hui Yew (SUPP), Michelle Ling Shyan Mih (PBK), Amy Lau Bik Yin (DAP) dan Ricky Enteri (Bebas)

Related posts

Leave a Comment