Johor ‘tidak terima’ sentimen kaum, agama

JOHOR BAHRU 27 Ogos – Strategi ‘perangkap’ sentimen isu agama dan kaum dimainkan Perikatan Nasional (PN) hanya terpakai kepada empat negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Justeru, beliau meminta pengundi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak turut terjerat dengan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) yang dimainkan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Beliau mendakwa, ini kerana pihak lawan sengaja menanamkan ketakutan dalam kalangan rakyat bahawa Melayu dan Islam sedang terancam kini.

“Jadi (sentimen ini) akan menjadi subur, terutama apabila isu 3R dimainkan. Gelombang ini sementara kerana asasnya tidak akan bertahan lama. Ini semua adalah slogan yang memerangkap rakyat secara sementara.

Strategi politik seperti Melayu dan Islam terancam serta DAP komunis, hanya terpakai di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling, di sini, malam tadi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu mendakwa, sentimen dimainkan pembangkang itu sama seperti yang berlaku pada 1969 sehingga mencetuskan tragedi berdarah di negara ini.

Sehubungan itu, beliau yakin rakyat di negeri ini bijak dalam memilih parti politik untuk mentadbir negara ke arah masa depan lebih baik.

“Saya yakin ‘gelombang hijau’ tidak akan melintas ke negeri ini kerana rakyat Johor telah melihat pembangunan hebat yang berjalan dengan baik dan memberi faedah kepada rakyat.

“Saya yakin Johor akan menjadi benteng paling hebat buat Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, kita perlu bekerja keras dan memastikan calon Kerajaan Perpaduan menang dengan bergaya pada PRK Parlimen Pulai ini,” katanya.

Mohamad juga berkata, keputusan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) menjalin kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) adalah untuk menyelamatkan kestabilan negara, sekali gus memastikan perkembangan ekonomi berterusan.

“Kerjasama PH dan BN adalah satu perkembangan politik terbaik yang berlaku dalam negara ini. Jika ikutkan dendam peribadi, saya lawan BN selama 44 tahun, tetapi dalam keadaan tiada parti dapat membentuk kerajaan, kita bertindak atas kematangan politik.

“Memang dasar Madani yang diperkenalkan belum sampai sepenuhnya kepada rakyat di bawah, kerana ia baru berusia lapan bulan. Namun jika diberikan sedikit masa lagi, saya yakin rakyat akan faham,” katanya.

Related posts

Leave a Comment