MUAR 24 Ogos – Gelombang Perikatan Nasional (PN) yang melanda beberapa negeri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, dijangka berulang di Johor dengan kemasukannya bermula dari Muar sebelum berakhir di Johor Bahru.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk serta pencetus gelombang PN sebelum bertapak di negeri ini pada pilihan raya akan datang.
Justeru pengundi di DUN Simpang Jeram perlu membuat eksperimen untuk memastikan gelombang ini terus kekal serta sebagai isyarat penting kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Gelombang yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura. Saya dah habaq (beritahu) tadi sampai ke hujung.
Johor tidak terkecuali dengan permulaannya di sini (Simpang Jeram) sebelum kita mengambil alih negeri dalam tempoh dua tahun setengah lagi,” katanya selepas Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN di Markas Pas Bakri, malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan.
PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan serentak susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundi pada 9 September.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PRK ini amat besar ertinya kepada politik Malaysia bukan sahaja untuk rakyat Johor tetapi memberi isyarat supaya Malaysia dapat diselamatkan daripada tangan rakus.
“Isyarat akan bermula di Simpang Jeram, Insya-Allah bangsa Johor boleh mengajar penipu untuk berhenti daripada berkata-kata. Saya berharap Simpang Jeram akan menerima aura dari enam negeri (Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor),” katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, gelombang PN telah melanda di Pantai Timur, Utara dan turun ke Selatan tanah air, dan beliau yakin Simpang Jeram serta Pulai akan menjadi penentu penting untuk pengundi menghantar mesej kepada Perdana Menteri.
“Bukan perkara mustahil benda ini boleh berlaku, siapa sangka negeri terkuat DAP di dunia, Pulau Pinang kalah 11 kerusi…tiada siapa menyangka tapi saya tahulah sebab jiran saya,” katanya.
Sementara itu, menurut Tuan Ibrahim, Pas pernah memenangi kerusi di kawasan itu sebelum ini dengan nama DUN Sungai Abong.
“DUN Simpang Jeram ini bukan asing bagi Pas. Kita dah menang dua kali sebelum ini dengan nama Sungai Abong dan kita yakin pada kali ini juga kita akan meneruskan kejayaan kita insya-Allah,” ujar beliau
