Semua negeri PN pilih logo, tema Kerajaan Persekutuan.

SEPANG 24 Ogos – Kerajaan negeri Perlis mengikut jejak kerajaan Terengganu, Kedah dan Kelantan untuk mengguna logo serta tema sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata keputusan itu dibuat bagi sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Perlis 2023 pada 30 Ogos nanti.

“Kerajaan negeri akan menggunakan logo dan moto yang sama seperti Pusat pada Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis yang akan diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri pada malam 30 Ogos nanti,” katanya, malam tadi.

Berikutan pendirian Perlis itu, semua empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan tema serta logo “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

Kelantan dan Kedah mengambil keputusan yang sama hari ini manakala Terengganu telah menyatakan pendirian yang sama pada 21 Ogos lalu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, mencadangkan empat negeri di bawah pemerintahan gabungan politik itu menggunakan logo dan tema yang berbeza iaitu Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar,  Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan menggunakan logo dan tema yang sama dan selari dengan Kerajaan Persekutuan

Katanya, Kedah mengambil pendirian tersebut atas semangat patriotisme selain mengikut apa yang diputuskan di peringkat Pusat.

Menurutnya, penggunaan tema mahupun logo yang sama antara dua negeri berbeza fahaman politik bukan suatu isu, kerana ia tidak mengubah haluan politik masing-masing.

“Buat apa menimbulkan perbalahan mengenai isu tersebut. Kita setuju guna tema dan logo sama, bukan bermakna kita bersetuju dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, biar apa sahaja tema yang digunakan, ia bukan mencerminkan pendirian politik, sebaliknya yang penting adalah semangat patriotisme.

“Sambutan itu di peringkat kebangsaan, jadi tiada masalah untuk negeri ikut. Letak tema apa pun namun hati kita macam itu juga.

“Tema tahun lepas pun kita lupa dah. Lepas ini kita lupa lah tema tahun ini. Bukan kita nak ikut atau sokong Pakatan Harapan (PH) bukan. Tetapi kerana ia dijadikan tema kebangsaan (jadi) ikut sahaja lah,” ujarnya.

Di KOTA BHARU : Timbalan Menteri Besar  Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan akan menggunakan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan sebagaimana diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Bagaimanapun katanya, terdapat tambahan kepada tema asal iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Membangun Bersama Islam’.

Terdahulu, pada 21 Ogos lalu, Menteri Besar, Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan logo dan tema yang sama dengan Kerajaan Pusat bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Related posts

Leave a Comment